
PADANG BESAR: Penutupan sekolah disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 (PKP) tidak menghalang guru melaksanakan tugas bagi mendidik pelajar.
Bukan sahaja mereka melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), sebaliknya menjejaki pelajar ke rumah mereka.
Guru Sekolah Kebangsaan (SK) Titi Tinggi, Siti Rohana Harun berkata, beliau berusaha memastikan setiap pelajar sentiasa mendapat pendidikan yang sempurna.
Katanya guru perlu berjiwa besar sehingga ada yang sanggup turun padang menjejaki murid tercicir sepanjang tempoh PdPR.
Menurut beliau, sekarang merupakan fasa kedua guru-guru di sekolah itu turun padang bagi menyerahkan modul pelajaran kepada murid yang keciciran.
“Buat masa sekarang pihak sekolah memberi tumpuan kepada murid tahap dua melibatkan pelajar tahun empat hingga enam dahulu.
“Selepas ini akan diteruskan kepada murid-murid di tahun satu hingga tiga dalam masa terdekat.
“Kami sentiasa membuat susulan dengan pelajar yang tercicir untuk memastikan mereka sentiasa mengikuti PdPR, jika tidak dapat mengikuti secara sepenuhnya, 90 peratus pun sudah mencukupi,” katanya ketika ditemui di sini.
Siti Rohana juga berkata, pelajar sering memberi pelbagai alasan antaranya tidak mempunyai peranti dan perlu berkongsi dengan ibu bapa menyebabkan mereka tidak dapat mengikuti kelas PdPR.
Bagaimanapun katanya pelajar berjanji menyiapkan kerja sekolah menerusi modul yang diberi.
Selain itu pelajar diminta berhubung dengan guru menerusi aplikasi Whatsapp sekiranya tidak dapat mengikuti PDPR.
Beliau juga berkata, guru-guru SK Titi Tinggi turut menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada 120 keluarga pelajar daripada golongan B40.
Kata beliau bakul makanan tersebut hasil sumbangan pihak sekolah, waris pelajar serta pengguna media sosial yang mendapat info melalui laman muka buku sekolah.
“Pada fasa pertama bulan lepas, seramai 147 keluarga asnaf menerima manfaat bakul makanan,” katanya.
Sementara itu, seorang pelajar tahun enam Noor Adila Rozaidi berkata, beliau merasa terharu dengan kehadiran guru-guru ke rumahnya dan berjanji akan mengikuti PdPR.
“InsyaAllah, saya berjanji akan berusaha mengikuti kelas PdPR dengan sebaiknya,” kata beliau. – HARAKAHDAILY 25/6/2021











