
RAMAI orang skeptikal dengan langkah PKP yang diumumkan kerajaan. Ada yang kata kes tak turun-turun sekitar 4,000-5,000 sehari. Bilalah nak kosongnya. Ada yang kata kerajaan gagal dan Kementerian Kesihatan Malaysia tidak dapat membendung perebakan.
Sebelum kita pergi lebih jauh, elok kita tengok data-data yang kita ada dahulu. Graf ini biasa kita tengok tapi selalunya kita bincang berkenaan kadar kebolehjangkitan. Tapi sedarkah kita, sekiranya PKP tidak dilaksanakan, jumlah pesakit harian di Malaysia kita jangkakan adalah seramai lebih daripada 20 ribu orang sehari. Bukan sedikit itu dan boleh terus melonjak ke angka lebih 50 ribu orang dalam beberapa minggu yang akan datang. Sangat menakutkan. Bukan sahaja sistem kesihatan akan ‘collapsed’, malah ekonomi, pendidikan, politik dan lain-lain akan jatuh bersama seperti kesan domino.
Alhamdulillah PKP telah menunjukkan kesannya tapi dengan perlahan-lahan. Kita jangka ‘the best case scenario’ kita boleh turunkan ke tiga angka di akhir bulan hadapan. Sekali lagi itu kalau semua berjalan dengan baik.
Namun kehidupan manusia adalah sangat dinamik. Ada yang perlu kerja untuk cari makan. Tidak boleh selamanya dikurung. Sebagai negara pengeluar barang asas, kilang terpaksa dibuka bukan sahaja untuk pekerja cari makan tapi bagi membekalkan barangan asas kepada rangkaian pengeluaran barangan tertentu. Jadi kemungkinan penurunannya jauh lebih lama.
Apa solusinya? Solusinya ada tiga pendekatan utama
1. Mass vaccination dengan lebih pantas. Ini yang kerajaan cuba buat. Namun ia terhalang disebabkan faktor bekalan. Insya-Allah ia akan selesai lebih awal dari yang dijangkakan apabila bekalan akan mencukupi di awal bulan hadapan.
2. Disiplinkan diri dengan lockdown sendiri. Tidak keluar melainkan perlu. Kajian menunjukkan kawalan pergerakan sendiri lebih banyak menyumbang dalam pengurangan kes. Itu di negara luar. Di Malaysia kita kurang berdisiplin di semua peringkat. Mungkin jadi seperti negara China, ada baiknya juga terutama dalam keadaan sebegini. Tidak perlu menyalahkan sesiapa. Kita semua bertanggungjawab. Kalau gagal maka yang gagal adalah kita juga.
3. Jaga SOP. Nak tak nak, ini sudah jadi norma baru kepada kita semua. Mungkin untuk beberapa tahun yang akan datang.
Bersama-samalah kita membendung perebakan. Kepada yang suka salahkan orang lain, tinggalkan sahaja mereka dan tak perlu dilayan. Bagi yang lain, kita jalan terus insya-Allah kita berjaya.
DR MOHD MAZRI YAHYA
Ahli Jawatankuasa Kerja
PAS Pusat – HARAKAHDAILY 25/6/2021
Sumber Asal: https://www.facebook.com/1178275625/posts/10226843601574264/











