
ALHAMDULILLAH, hari ini saya menerima berita bahawa Tuan Guru Haji Abdullah bin Lebai Samah, Madrasah Takwiyatul Islamiah Pondok Bukit Lada, Pokok Sena, Kedah telah menerima suntikan vaksin COVID-19.
Saya sendiri, Alhamdulillah telah mendapat suntikan yang pertama, dan insya-Allah 29 Jun nanti akan menerima pula suntikan kali kedua. Para ulamak menyatakan satu kaedah fiqh:
الضَّرَرُ يُزَال
“Kemudaratan itu disingkirkan.”
Sesuatu kemudaratan itu dihilangkan atau disingkirkan melalui pelbagai cara. Antaranya adalah dengan mengambil langkah berjaga-jaga terhadap sesuatu bahaya yang bakal menimpa. Oleh itu, pengambilan vaksin turut termasuk dalam cara menyingkirkan kemudaratan. Maka, vaksinasi ini turut bertepatan dengan kaedah fiqh yang disebutkan di atas.
Vaksin COVID-19 merupakan salah satu bentuk cara untuk meningkatkan imuniti kelompok (herd immunity) dalam kalangan masyarakat, supaya memiliki daya tahan terhadap penyebab jangkitan penyakit tersebut. Insya-Allah, dengan adanya vaksin ini kita dapat mengurangkan jangkitan wabak penyakit COVID-19.
Saya menyeru kepada semua rakyat Malaysia serta yang menetap di Malaysia untuk segera mendaftarkan diri untuk mendapat suntikan vaksin COVID-19 menerusi aplikasi MySejahtera dan pelbagai cara lain seperti dianjurkan kerajaan. Semoga usaha murni yang dijalankan ini diberkati oleh Allah S.W.T untuk melindungi diri, keluarga dan masyarakat.
MOHAMAD RODI ABDUL RAHMAN
Ketua Dewan Ulamak PAS Negeri Kedah
4 Jun 2021 – HARAKAHDAILY 4/6/2021











