Tahanan mati: Polis siasat kecuaian, langgar SOP

- Advertisement -

SHAH ALAM: Polis akan menumpukan pada aspek kecuaian anggota dan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) ketika mengendalikan siasatan dalam menyiasat kes kematian seorang tahanan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan semalam.

- Advertisement -

Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed berkata kes itu diambil alih Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dengan pegawai penyiasat terlibat disiasat mengikut Seksyen 223 Kanun Keseksaan iaitu penjawat awam dengan cuai membiarkan orang tahanan lari dari pengurungan.

Beliau berkata anggota lelaki berpangkat sarjan itu juga telah ditukarkan serta-merta dan tindakan lanjut ke atasnya bergantung pada hasil siasatan yang diperoleh kelak.

“Kertas siasatan mati mengejut turut dibuka selari dengan tujuan kita untuk menentukan punca kematian,” katanya dalam sidang media di IPK Selangor hari ini.

Mengulas mengenai kematian tahanan itu, Arjunaidi berkata lelaki berusia 36 tahun tersebut yang direman untuk membantu siasatan kes kecurian tong gas, maut selepas terjun dari tingkat dua bangunan berkenaan pada 1.50 tengah hari.

Katanya ketika dalam perjalanan kembali ke lokap selepas keterangannya direkodkan di pejabat pegawai penyiasat tersebut, tahanan itu bertindak menolak pegawai penyiasat berkenaan dan cuba melarikan diri dengan terjun melalui tingkap yang terbuka di tingkat dua.

“Tahanan telah jatuh di luar konkrit pemisah di antara tingkat satu dan dua sebelum terjatuh di atas sebuah motosikal di kawasan parkir. Ini menyebabkan keretakan pada bahagian tempurung kepala dan muka tahanan tersebut,” katanya. – BERNAMA

- Advertisement -