PAS konsisten bantah kilang arak sejak dahulu

- Advertisement -

ARAU: Penutupan semua kilang minuman keras di seluruh negara yang diumumkan Menteri Kanan Pertahanan, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob semalam disambut baik semua pihak.

Timbalan Ketua Pemuda PAS Perlis, Ustaz Mohd Ridzuan Hashim berkata, sewajarnya operasi kilang arak ditutup kerana ia bukan termasuk dalam industri keperluan utama bagi rakyat.

- Advertisement -

“Tahniah kepada ahli parlimen PAS yang mendesak supaya operasi kilang arak ditutup kerana ia bukanlah termasuk dalam industri penting. PAS tetap konsisten berkaitan isu arak sejak dahulu lagi.

“Tambahan pula, jika kilang arak meneruskan operasi ia melibatkan pelbagai lapisan pekerja maka keputusan yang dibuat sangat baik,” ujarnya di sini.

Semalam PAS mendesak kerajaan menarik balik kelulusan kilang arak beroperasi ketika total lockdown sekarang kerana ia dianggap bukan dalam kategori keperluan utama.

Sebelum itu surat kelulusan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) tular di media sosial mengenai kelulusan operasi kilang arak. Berikutan itu pada lewat petang kerajaan mengumumkan operasi kilang arak dihentikan.

Mohd Ridzuan yang juga Adun Guar Sanji berharap rakyat Perlis terutamanya warga emas segera mendapatkan vaksin di pusat vaksin yang disediakan kerajaan.

“Vaksin adalah termasuk antara kaedah untuk kita mengawal penularan Covid-19 maka saya menyeru setiap golongan masyarakat terutamanya warga emas untuk membuat pendaftaran segera.

“Kita bersyukur Perlis rakyatnya tidak seramai negeri lain, maka kena ambil peluang ini untuk segera daftar supaya dapat menjaga kita daripada dijangkiti virus Covid-19,” katanya.

Sungguhpun begitu, ujarnya lagi langkah berjaga-jaga dan prosedur operasi standard (SOP) perlu dipatuhi dengan baik oleh setiap anggota masyarakat. – HARAKAHDAILY 2/6/2021

- Advertisement -