
KUALA LUMPUR: Pengerusi Lajnah Hubungan NGO PAS Pusat, Ustaz Misbahul Munir Masduki menyeru semua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) supaya melancarkan kutipan derma bagi membantu rakyat yang terkesan akibat penularan Covid-19.
Menurut beliau kesan itu lebih dirasai oleh golongan B40 terutama mereka yang kehilangan pendapatan akibat diberhentikan kerja atau bekerja sendiri.
Katanya, memandangkan jumlah kes jangkitan Covid-19 semakin meningkat kerajaan telah melaksanakan total lockdown selama 14 hari bermula 1 hingga 14 Jun.
Ekoran itu kata beliau, golongan terkesan iaitu B40 dan bekerja sendiri tidak mempunyai pendapatan yang sangat memerlukan bantuan untuk menampung kehidupan.
Beliau yang juga AJK PAS Pusat memaklumkan PAS telah melancarkan Tabung Bantuan Covid-19 oleh Timbalan Presiden, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man menerusi talian dan ‘Facebook’.
“Inilah konsep negara berkebajikan yang menjadi hala tuju PAS dalam perjuangannya,” katanya.
Tambah beliau manakala pihak kerajaan juga sebelum ini telah mengisytiharkan semua gaji menteri dan timbalan menteri tidak diambil selama tiga bulan untuk disumbangkan ke Tabung Bencana Covid.
Begitu juga katanya pegawai-pegawai kerajaan turut dipotong elaun tertentu untuk tujuan yang sama.
“Semua pihak bukan semata-mata kerajaan, bahkan NGO dan rakyat saling membantu apabila negara ditimpa musibah,” katanya. – HARAKAHDAILY 2/6/2021











