Muslimat PAS tawar khidmat Kaunseling secara percuma

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) mengambil inisiatif melaksanakan pelbagai program kebajikan dan kemasyarakan dalam usaha untuk membantu golongan yang memerlukan sokongan moral dan juga kewangan dalam tempoh pandemik Covid-19.

Ketuanya, Senator Ustazah Nuridah Mohd Salleh berkata, ini adalah inisiatif daripada pihaknya dalam usaha bagi menjayakan kempen Tabung Bencana Covid-19 yang diwujudkan parti berkenaan.

- Advertisement -

Menurutnya, pihaknya cakna akan tekanan yang dihadapi rakyat ketika ini bagi mendepani cabaran pandemik Covid-19 yang mampu menjurus kepada masalah kesihatan mental.

Justeru, inisiatif pertama yang telah dilaksanakan adalah mewujudkan Khidmat Psikologi dan Kaunseling secara percuma secara dalam talian khususnya kepada wanita bagi membantu mengurus kesihatan mental.

“Kepada yang memerlukan khidmat nasihat dan bimbingan boleh menghubungi talian sejahtera iaitu 011-5338-2177.

“Talian ini diyakini kerana diuruskan oleh pakar-pakar yang bertauliah dalam bidang kaunseling dan psikologi. Maklumat lanjut boleh didapati di Facebook Page ‘Gerakan Wanita Sejahtera’,” katanya.

Beliau berkata demikian selaku tetamu undangan dalam Majlis Pelancaran Tabung Bencana Covid-19 secara atas talian bersama Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man, naib Presiden PAS, Senator Idris Ahmad, Setiausaha Agung PAS, Dato’ Sri Takiyuddin Hassan.

Selain itu, Pengerusi Lajnah Kesihatan PAS Pusat, Prof. Madya Dr. Mohd Mazri Yahya, Pengerusi Khidmat Malaysia PAS Pusat, Mohd Yusni Mat Piah, Ketua-ketua Dewan Ulamak, Pemuda (DPPM), Muslimat (DMPM) dan Himpunan Pendukung PAS Malaysia (HPPM) yang bersiaran langsung di laman Facebook rasmi PAS Pusat, pada Selasa. 

Selain itu katanya, dalam usaha meningkatkan tahap kesedaran orang awam mengenai Covid-19, pelbagai program penerangan telah dilaksanakan oleh Jabatan Muslimat Medical Team (MusMedik) secara dalam talian di Facebook Gerakan Wanita Sejahtera.

Katanya, Muslimat PAS juga giat dalam mengadakan pelbagai program munajat secara berkala di setiap peringkat.

“Sehingga kini, ia masih diteruskan dengan penuah harapan agar wabak Covid-19 segera berakhir dan kehidupan rakyat Malaysia berada dalam kesejahteraan,” ujarnya.

Pihaknya juga kata Ustazah Nuridah lagi telah menggerakkan entiti kebajikan di bawah Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan DMPM bagi menyalurkan sumbangan daripada orang ramai kepada masyarakat yang memerlukan.

“Kami juga telah mengumpulkan dana sumbangan daripada orang awam untuk disalurkan kepada pihak-pihak yang akan menguruskan dana tersebut,” katanya dan menambah pengumpulan dana akan diteruskan lagi bagi menyokong kempen Tabung Bencana Covid-19 berkenaan.

Pihaknya juga mengharapkan agar Tabung Bencana Covid-19 ini mendapat sambutan yang menggalakkan dari seluruh rakyat Malaysia.

“Sedekah tidak akan pernah merugikan kita malah akan lebih menguntungkan kita,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 2/6/2021

- Advertisement -