
ALOR SETAR: Seramai 23 peratus atau 63,746 orang daripada 277,460 rakyat negeri ini yang mendaftar untuk suntikan vaksin COVID-19 telah memperolehi dua dos, manakala 107,457 menerima dos pertama.
Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor bagaimanapun memaklumkan terdapat 35 peratus mereka tidak hadir temujanji suntikan di mana sebahagian menolak dan 50 peratus lagi disebabkan masalah komunikasi.
“Di Kedah sekarang ini ada 12 buah klinik swasta telah menjadi pusat suntikan, 12 buah klinik swasta bersetuju menjadi pusat suntikan vaksin dan permohonan ini akan diproses oleh Kementerian Kesihatan untuk diluluskan.
“Selepas ini bekalan vaksin akan dibekalkan ke klinik tersebut dan suntikan akan dibuat di klinik juga akan diuruskan oleh Jabatan Kesihatan. Dan semua peserta-peserta ini juga mendaftar melalui MySejahtera,” ujarnya.
Tegas beliau, rakyat Kedah perlu mengambil suntikan itu sebagai satu kewajiban bagi membolehkan imuniti kelompok disasarkan dapat dicapai bagi menangani cabaran penularan dalam komuniti masyarakat negeri ini.
Kerana maklumnya, di dalam komuniti terdapat mereka yang mungkin positif, selain seramai 2,227 pesakit kategori 1 dan 2 sedang dirawat dan dikuarantin di rumah masing-masing berikutan kekurangan katil hospital.
“Masalah kita hadapi, orang yang menerima rawatan di rumah ini tidak ada pemantauan sama ada mereka membuat pergerakan ataupun perjalanan keluar daripada rumah,” ujarnya.
Beliau berharap jiran tetangga juga memainkan peranan memastikan mereka yang memakai gelang merah jambu tidak keluar rumah selain mengamalkan kawalan pergerakan kendiri.
Sanusi turut berharap rakyat yang berkemampuan dengan memiliki wang simpanan dapat berbelanja dahulu sebelum bantuan diberikan, selain bersikap mengutamakan keperluan golongan susah.
Beliau kesal kerana terdapat kalangan yang kaya turut menagih bantuan, sedangkan ketika sama terdapat lebih ramai golongan memerlukan dan terjejas dimana hidup kais pagi makan pagi.
“Yang kerajaan nak bagi ini, bagi orang betul-betul susah, yang terputus bekalan, tak boleh pergi kerja, beras tak ada di rumah, tak ada makanan dah. Bagilah dekat depa, janganlah kita menjadi tamak. Oleh kerana PKP kita rasa layak, kerana kita ada dalam itu.
“Duit dalam bank berkepul-kepul, kita buat lupa, kita duduk, kita nak pergi ambil bahan makanan yang sepatutnya menjadi hak kepada yang lebih susah daripada kita. Masa inilah masa untuk kita bekerjasama bertimbang rasa. Patuh SOP, patuh syariah. Jangan ambil hak orang.
“Kita ada keupayaan kita belanjalah atas keupayaan kita. Kerajaan ini dia sumber terhad, kita utamakan betul-betul yang tak mampu, tak ada sungguh-sungguh, janganlah habaq dekat saya tak ada sungguh-sungguh, tapi dalam bank ada, tuhan tahu, malaikat pun tahu. Orang bank itu pun tahu.
“Tuhan tulis semua itu, malaikat tulis, tuhan tulis. Tuhan peringat semua, jangan ambil mudah atas dunia ini semua ada nilai dia di akhirat esok, kan. Kalau kita berkorban pada masa ini, Allah akan beri nikmat yang lebih banyak pada masa depan insya-Allah dimurahkan rezeki kita, dipermudahkan urusan kita,” nasihatnya.
Menurutnya, wakil rakyat juga hakikatnya berkorban walaupun terdapat desakan potong gaji, perkara tersebut memang dilakukan tanpa hebahan kerana bukan mahu mencari populariti tetapi meraih pahala.
Kerana jelas beliau, perbuatan seperti itu adalah ibadah tetapi jika dilakukan sebaliknya ia membawa dosa, di mana duit akan pergi, tetapi pahala tidak dapat disebabkan ujub dan riyak itu.
Menurutnya, baik wakil rakyat kerajaan mahupun pembangkang sebenarnya telah membelanjakan sebahagian besar hingga 80 dan 90 peratus elaun mereka untuk membantu rakyat.
Sanusi juga menegaskan bahawa kunci peningkatan kes positif COVID-19 di negeri ini adalah berpunca daripada pergerakan yang banyak termasuk dari luar dan aktiviti sosial lainnya.
Menjawab dakwaan kes pelancong ke Genting Highlands yang positif baru-baru ini, jelasnya ia berada dalam Kluster Dah Lengkuas dan tidak direkodkan sebagai kluster Genting kerana ia kluster di negeri ini. – HARAKAHDAILY 31/5/2021











