
KUALA LUMPUR: Kerajaan memperuntukkan RM2.1 bilion lagi bagi menambah jumlah Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) sempena Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (PEMERKASA Plus).
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, bayaran BPR tambahan itu akan mula dimasukkan ke akaun penerima pada hujung bulan Jun nanti.
“Bagi kategori isi rumah yang berpendapatan di bawah RM2,500, mereka akan menerima kadar BPR tambahan sebanyak RM500 dan isi rumah berpendapatan antara RM2,501 hingga RM5,000 akan menerima kadar sebanyak RM300.
“Golongan bujang pula akan menerima RM100,” katanya semasa menyampaikan Perutusan Khas Perdana Menteri Bantuan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, malam ini.
Jelas Muhyiddin lagi, bayaran tersebut merupakan tambahan sebanyak RM2.4 bilion kepada fasa bayaran terakhir BPR pada bulan September ini.
PEMERKASA Tambahan atau PEMERKASA Plus merupakan inisiatif terbaharu kerajaan untuk membantu meredakan cabaran yang dihadapi, terutamanya ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini.
Menurut Muyhiddin, nilai keseluruhan program PEMERKASA Plus adalah berjumlah RM40 bilion, di mana suntikan langsung fiskal kerajaan sebanyak RM5 bilion. – HARAKAHDAILY 31/5/2021











