Fitnah: LGMPC tuntut Sedar Malaysia mohon maaf

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: LGM Properties Corporation (LGMPC) menuntut pengendali laman sosial Sedar Malaysia dan negaramerdeka.com menurunkan artikel fitnah berkaitan agensi itu dalam tempoh 48 jam.

Pihak terbabit juga diminta membuat permohonan maaf secara terbuka dan disiarkan di media aliran perdana, media-media sosial dan laman sesawang terlibat.

“LGMPC tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang sekiranya pihak yang bertanggungjawab gagal melaksanakan tuntutan tersebut,” katanya pada satu kenyataan di sini hari ini. 

- Advertisement -

Pada 29 Mei lepas facebook Sedar Malaysia dan laman sesawang negaramerdeka.com memuatkan artikel mengaitkan LGM Properties Corporation dan Ketua Pegawai Eksekutifnya LGMPC yang berbaur tuduhan, dakwaan, fitnah, tohmahan dan tidak berdasarkan pada fakta yang tepat.

Pernyataan fitnah tersebut juga tersebar secara meluas melalui perkongsian orang ramai di media sosial, laman sesawang dan jaringan komunikasi.

LGMPC juga berkata, pihaknya memandang serius pernyataan fitnah tersebut dan secara spesifik menafikan setiap pernyataan fitnah yang terkandung di dalam artikel tersebut.

Katanya, dakwaan dalam artikel tersebut secara terang-terangan berniat jahat bertujuan menjatuhkan reputasi Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Malaysia, LGMPC dan Ketua Pegawai Eksekutif LGMPC.

“LGMPC adalah Perbadanan yang tertakluk di bawah Akta Lembaga Getah Malaysia (Perbadanan) 1996, di mana segala aktiviti, pengurusan dan atau transaksi melibatkan LGMPC berpandukan kepada pematuhan Undang-Undang Malaysia.

“Dan secara spesifik berada di bawah pemantauan serta penyeliaan Lembaga Getah Malaysia,” katanya.

Oleh itu kata kenyataan itu tidak sewajarnya timbul isu berkaitan dakwaan salah urus tadbir, penyelewengan, rasuah dan salah guna kuasa seperti yang dibangkitkan dalam pernyataan fitnah tersebut.

Malah katanya pelantikan Ketua Pegawai Eksekutif LGMPC Ir Ariffahmi Ab Rahman mengikut Peraturan-peraturan Lembaga Getah Malaysia (LGM Properties Corporation) 2001 dan beliau mula bertugas 25 Januari lepas.

“Selama empat bulan perkhidmatannya beliau berjaya merencana, menyusun semula dan melaksanakan strategi perniagaan baharu demi meningkatkan pendapatan LGMPC.

“LGMPC menafikan sekeras-kerasnya tindakan penyebaran artikel yang mengandungi pernyataan fitnah oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dan menggesa orang ramai untuk tidak mempercayai fakta-fakta palsu yang disampaikan demi kepentingan peribadi atau alat mainan politik pihak-pihak tertentu,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 31/5/2021

- Advertisement -