Percepat pemberian vaksin kurang jangkitan berlaku

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kelantan berharap program pemberian vaksin berskala mega tidak merencatkan jadual proses pemberian vaksin kepada rakyat di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri Dr Izani Husin berkata, perkara itu dibimbangi mungkin merencatkan proses pemberian suntikan vaksin seperti yang dirancang Kerajaan Kelantan.

Katanya, kes Covid-19 di Kelantan mencatatkan angka yang tinggi malah kesemua daerah di negeri tersebut berada dalam zon merah.

- Advertisement -

Justeru kata beliau solusi paling tepat adalah dengan mempercepatkan pemberian vaksin kepada rakyat di negeri itu bagi mengurangkan jangkitan terus berlaku.

Bagaimanapun katanya, pihaknya menyambut baik langkah yang diambil oleh menteri penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin.

“Jadi sekiranya ia mengganggu proses vaksinasi negeri ia akan merencatkan perancangan kita untuk proses vaksinasi.

“Jadi saya harap supaya program yang kita rancang dengan jumlah vaksin yang akan datang akan dapat mempercepatkan rakyat untuk menerima suntikan memandangkan negeri ini terdapat peningkatan kes.

“Bagaimanapun, saya mengucapkan tahniah kepada YB menteri, namun kita minta dan berharap supaya ia tidak menjejaskan atau mengganggu bekalan vaksin untuk sampai kepada rakyat,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Semalam media melaporkan kerajaan akan menambah bilangan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Selangor dan Kuala Lumpur bagi menampung jumlah pusat yang sedia ada bermula 7 Jun ini.

Menurut Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin, tiga PPV berskala mega akan dibuka di Lembah Klang.

Dr Izani juga berkata, sekiranya kerajaan ingin mengadakan program vaksinasi berskala mega dicadang mendapatkan bekalan vaksin lebih banyak supaya program itu dapat berjalan lancar. – HARAKAHDAILY 31/5/2021

- Advertisement -