Darurat: Kes BERSIH lawan PM, kerajaan dijadual semula

Datuk Ahmad Kamal Md Shahid
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Dato’ Ahmad Kamal Md Shahid, hari ini telah menjadualkan semula tarikh untuk pendengaran permohonan BERSIH bagi merujuk kes darurat ke Mahkamah Persekutuan kepada 29 Julai depan.

Ia berikutan terdapatnya permohonan oleh Majlis Peguam Malaysia di dalam satu kes yang lain memohon agar permohonan mereka atas isu dan perkara yang sama didengar bersama permohonan BERSIH tersebut.

- Advertisement -

Terdahulu PAS melalui Senator Ir Ts Khairil Nizam Khirudin, Ahli Parlimen Pasir Mas, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari, dan Senator Mohd Apandi Mohamad telah dimasukkan sebagai pencelah di dalam kes tersebut.

Tujuan pemimpin-pemimpin PAS berkenaan menjadi pencelah adalah bagi menjaga peranan institusi Parlimen dan kepentingan rakyat dalam prosiding itu.

Dalam kes yang sama, BERSIH antara lain telah memohon deklarasi daripada Mahkamah bahawa Ordinan Darurat (Kuasa-Kuas Perlu) 2021 bertarikh 14 Januari lalu yang diisytiharkan di bawah Fasal 150(2B) Perlembagaan Persekutuan adalah menyalahi undang-undang dan tidak berpelembagaan.

PAS dalam masa yang sama berpendirian dan menyatakan sokongan penuh usaha kerajaan menasihati Yang di-Pertuan Agung (YDPA) bagi mengisytiharkan darurat bagi membolehkan kerajaan menumpukan sepenuh usaha dan menggembleng jentera kerajaan agar pandemik Covid-19 dapat diatasi sebaiknya.

Manakala Ir Ts Khairil Nizam dalam keterangan affidavitnya menyatakan bahawa tindakan kerajaan menasihatkan YDPA jelas berada dalam kerangka yang dibenarkan oleh Perlembagan, dan berpandangan cubaan untuk melibatkan mahkamah sebagai badan kehakiman (judiciary), dalam perkara yang dibenarkan kepada kerajaan (eksekutif) akan memberikan duluan (precedent) yang bertentangan terhadap sistem pentadbiran Malaysia.

Pemimpin PAS tersebut menyeru sokongan dan doa semua rakyat Malaysia termasuklah parti pembangkang untuk turut sama memberikan kerjasama kepada kerajaan bagi memelihara kepentingan dan kesihatan rakyat selaras dengan prinsip Maqasid Syariah iaitu memelihara nyawa.

Dalam prosiding mahkamah itu, pemimpin-pemimpin PAS diwakili oleh pasukan peguam yang terdiri dari Mohammed Zamri Ibrahim, Mohamad Izzat Ghazali, Ahmad Amzar Ahmad Azlan, Muhammad Imran Abu dan Khairunnadiah Rosli. – HARAKAHDAILY 31/5/2021

- Advertisement -