Rakyat Kelantan patuhi peraturan had dua jam

- Advertisement -

KOTA BHARU: Orang ramai di Kelantan didapati mematuhi peraturan had dua jam ketika memasuki pasar raya dan premis perniagaan.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan Azanizam Affendi Juri berkata, pihaknya melaksana Operasi Had Dua Jam (Op Had 2J) bermula tiga hari lalu.

Katanya hasil pemantauan itu didapati pihak premis termasuk pasar raya dan pengguna mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) menerusi Operasi Had Dua Jam.

- Advertisement -

“Setakat ini kami membuat pemeriksaan di 12 premis termasuk pasar raya dan pasar tani. Tempat berkenaan menjadi tumpuan orang ramai membeli barang keperluan harian.

“Hasil pemeriksaan juga mendapati semua pengguna mematuhi SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang ditetapkan.

“Mereka mengimbas suhu, mendaftar di MySejahtera atau pada buku pendaftaran,” katanya pada kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya juga setiap premis yang diperiksa turut mematuhi SOP di mana menyediakan mesin pengimbas suhu, buku pendaftaran dan penggunaan MySejahtera.

Turut disediakan alat pengimbas suhu dan cecair pensanitasi tangan di laluan masuk ke premis perniagaan.

Selain itu premis perniagaan turut memaparkan jumlah had kemasukan pelanggan pada satu-satu masa dengan penggunaan sistem nombor giliran.

“Premis perniagaan juga memaparkan had maksimum tempoh dua jam bagi setiap pelanggan berada dalam premis.

“Di samping itu pihak pengurusan premis turut memastikan pergerakan keluar masuk orang ramai dengan penjarakan sekurang-kurangnya satu meter,” ujarnya.

Menurut beliau seorang pekerja mengawal laluan keluar masuk pelanggan ke premis mereka.

Azanizam juga berkata, pekerja, pembekal dan pelanggan diwajib memakai pelitup muka dengan betul mengikut saranan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ketika berada di premis. – HARAKAHDAILY 27/5/2021

- Advertisement -