Patuhi SOP tempat kerja untuk kurangkan risiko jangkitan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Selain daripada kluster perayaan dan kluster rentas negeri, negara juga berdepan dengan kluster tempat kerja iaitu sejak gelombang dua dan awal gelombang ketiga lagi.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sehingga semalam (26 Mei) jumlah keseluruhan kluster yang masih aktif adalah 593 kluster.

Menurutnya, jumlah kluster tempat kerja yang masih aktif adalah 233 kluster (39 peratus daripada kluster yang masih aktif) melibatkan 16,785 kes aktif.

- Advertisement -

Katanya, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang berkuatkuasa pada 12 Mei lalu, beberapa sekatan dan penutupan sektor telah dibuat termasuk arahan bekerja dari rumah.

Beliau menambah, arahan bekerja dari rumah telah dinaikkan semasa PKP 3.0 diperketatkan mulai 25 Mei lalu.

“Setakat ini, sektor ekonomi masih dibenarkan beroperasi,” katanya pada satu hantaran di laman Facebook beliau, petang ini.

Menurutnya lagi, jika dibandingkan dengan sebelum pelaksanaan PKP 3.0, terdapat pengurangan bilangan sub-kluster yang dilaporkan setiap minggu bagi sub-kluster iaitu pentadbiran awam, pembinaan dan perkhidmatan.

Namun begitu, ujarnya dapat diperhatikan terdapat pula peningkatan bilangan sub-kluster yang dilaporkan setiap minggu bagi sub-kluster pembuatan iaitu 14 kluster dalam seminggu sebelum PKP 3.0, berbanding 21-25 dalam seminggu selepas PKP 3.0).

Oleh itu, kata beliau KKM menyeru semua pekerja untuk mematuhi SOP di tempat kerja untuk mengurangkan risiko jangkitan di tempat kerja.

“Majikan juga perlu memainkan peranan penting mereka bagi memastikan segala SOP dipatuhi di tempat kerja,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 27/5/2021

- Advertisement -