
SERAMAI 750,000 kakitangan kerajaan dan 6.1 juta pekerja sektor swasta kerajaan ‘self-lockdown’ di rumah! Saya dan keluarga juga turut bimbang dengan peningkatan mendadak kes positif COVID-19 harian di negara kita.
Hari ini kerajaan telah menggunakan pelbagai cara serta kaedah, cuba untuk fleksibel, dinamik dan ‘adapt’ dengan cabaran memerangi COVID-19 yang tak pernah dihadapi oleh kita sebelum ini. Kerajaan tak fokus memerangi COVID-19? Tipu. Mustahil. Apa yang berlaku ialah kerajaan terpaksa membuat keputusan yang tidak popular bagi mengimbangi di antara kepentingan ‘lives versus livelihood’.
Bagi memastikan pergerakan dapat dikurangkan, 80 peratus kakitangan kerajaan akan bekerja dari rumah yang melibatkan seramai hampir 750,000 orang. Selain itu, sektor swasta juga dikehendaki mengurangkan jumlah pekerja yang hadir pada satu-satu masa kepada hanya 60 peratus. Manakala 40 peratus lagi akan bekerja dari rumah dan ini melibatkan seramai hampir 6.1 juta pekerja di sektor ini.
Berdasarkan kepada data yang dikeluarkan oleh KKM serta saranan daripada KKM sendiri, saya rayu kepada semua rakyat Malaysia khususnya anak muda di seluruh negara untuk mengamalkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Kendiri atau ‘self-lockdown’.
Jangan keluar rumah sekiranya tidak ada keperluan dan jika tidak perlu berkerja. Rancang urusan-urusan kita di luar rumah secara teratur dan minimumkan pergerakan. Virus tidak akan merebak jika manusia tidak melakukan pergerakan. Yang penting, terus amalkan normal baharu seperti memakai pelitup muka, penjarakan sosial 1 meter dan patuhi SOP yang telah digariskan kerajaan.
Saya percaya, perjuangan melawan COVID-19 bukan hanya perjuangan KKM semata-mata tetapi ianya mestilah diharungi secara bersama dengan penuh rasa tanggungjawab. Berikutan daripada saranan DG juga, Pemuda PAS dan Pemuda PN telah melancarkan kempen ‘self-lockdown’ di seluruh negara.
Kempen ini menyeru kepada rakyat dan anak muda khususnya pemuda untuk ‘self-lockdown’ di rumah melainkan ada keperluan atau kepentingan tertentu untuk keluar daripada rumah. Tanamkan dalam diri kita semua bahawasanya hari ini, ‘We are the frontliners!’
YB SENATOR IR. TS. HJ. KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia
Ketua Pemuda Perikatan Nasional – HARAKAHDAILY 24/5/2021











