PKP 3.0: Putuskan rangkaian Covid, kurang beban rakyat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pendekatan kerajaan memperketatkan pelakasanaan dan prosedur operasi standard (SOP) bagi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 adalah bagi memutuskan rangkaian Covid-19 dan mengurangkan beban rakyat daripada aspek ekonomi.

- Advertisement -

Menurut Ketua Penerangan PAS Pusat, Kamaruzaman Mohamad, pelaksanaan PKP 3.0 bukan sahaja akan membantu rakyat dari aspek ekonomi rumah tangga, bahkan bagi memelihara ekonomi negara daripada terus lembab.

Keputusan itu diambil berdasarkan kepada kajian yang merekodkan bahawa kerajaan akan kehilangan RM2.4 bilion sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 dilaksanakan semula.

Dalam masa sama, kerajaan juga terpaksa memperuntukkan sejumlah RM340 bilion bagi menampung keperluan sebahagian rakyat Malaysia yang terkesan teruk akibat PKP 1.0.

Justeru itu, kata Kamaruzaman, kaedah terbaik yang ada ketika ini bagi menyelamatkan ekonomi negara dan rakyat di samping tidak mengabaikan risiko Covid-19 adalah self lockdown.

“Jumlah kematian dan kes jangkitan baharu harian Covid-19 amat membimbangkan, malah kita dikhabarkan bahawa wujudnya varian baharu yang lebih berbahaya dari sebelum ini.

“Kebanyakan pesakit varian baharu dilaporkan tidak menunjukkan gejala, bahkan ujian saringan pula mencatatkan keputusan Covid-19.

“Kita tidak mahu ia merebak dan menular dalam kalangan kita. Ia terlalu berisiko,” ujarnya kepada Harakahdaily, hari ini.

Beliau dalam masa sama turut menekan supaya rakyat Malaysia dapat bersama menjayakan PKP 3.0 dengan mematuhi SOP yang ditetapkan serta saranan-saranan yang dikemukakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mengelakkan jangkitan.

Jelasnya, sekiranya SOP tidak dipatuhi dengan baik, ia tidak akan membuahkan sebarang hasil memandangkan kunci utama kepada putusnya rangkaian Covid-19 adalah pematuhan rakyat terhadap SOP yang ada. – HARAKAHDAILY 24/5/2021

- Advertisement -