PAS perjuangkan sehingga Palestin capai kemerdekaan

palestin
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS sebagai gerakan Islam akan sentiasa menghidupkan perjuangan Palestin sehinggalah kemerdekaan berjaya dicapai ke atas bumi para Anbiya’ itu.

Pengarah Pusat Bantuan dan Kemanusiaan PAS (PASRelief), Ustaz Mohd Yusni Mat Piah berkata, Palestin ibarat jantung kepada PAS dan perjuangan Islam seluruh dunia.

Kerana itu jelasnya, dalam tempoh masa yang singkat, PAS menerusi PASRelief dan PAS Negeri-negeri telah berjaya mengumpulkan sumbangan untuk disalur ke #Aid4Palestine sebanyak RM12 juta.

Menurutnya, isu Palestin sangat dekat dengan umat Islam dan ianya merupakan isu kemanusiaan sejagat yang sentiasa meneruskan solidariti sejak lebih tujuh dekad ini.

“Alhamdulillah, usaha untuk membantu saudara kita di Palestin mendapat respon yang positif daripada semua pihak. Pelbagai kaedah dan cara dilakukan semata-mata untuk menyumbang kepada Palestin.

“Bermula dengan lelongan kereta oleh Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor yang juga Pengerusi PASRelief, diteruskan dengan lelongan koleksi keris oleh Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Mohd Amar Nik Abdullah.

“Sehinggalah ada kalangan orang awam turut sama melelongkan motosikal, jual kerbau, emas dan bermacam usaha bagi membantu Palestin,” kaguminya.

Menurut Mohd Yusni yang juga ADUN Penaga, sumbangan ini akan diserahkan kepada #Aid4Palestine di bawah Pejabat Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah.

Perinci beliau, penyaluran dana itu nanti akan difokuskan kepada tiga pembangunan utama iaitu pendidikan, kebajikan dan kesihatan pasca-perang di Palestin.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah menyumbang melalui PASRelief untuk #Aid4Palestine dan mendoakan ia dikira sebagai amal jariah.

Para dermawan diseru agar sumbangan dibuat menerusi akaun Maybank 5640 7061 4481 (Tabung Kemanusiaan PASRelief) atau https://pasrelief.onpay.my/order/form/gaza dengan rujukan ‘Aid4Palestine’.

Sebarang pertanyaan lanjut boleh hubungi talian ‘hotline’ 011-2077 5802 atau layari Facebook rasmi PASRelief di https://web.facebook.com/pasrelieff. – HARAKAHDAILY 22/5/2021

- Advertisement -
- Advertisement -