Segera libatkan komuniti bendung wabak COVID-19

- Advertisement -

PENDEKATAN hanya kami sahaja yang tahu hendaklah dielakkan. Penularan serius wabak COVID-19 yang semakin mencanak dan menggila hendaklah dipandang serius semua pihak sebelum terlambat. Semua pihak, tanpa mengira parti dan latar belakang mesti membantu kerajaan untuk mengurus dan seterusnya mengekang wabak COVID-19 yang semakin menakutkan.

Saya diminta oleh sahabat saya, Fauzi Shaffie, agar segera melibatkan komuniti dalam usaha membendung wabak COVID-19. Memang seharusnya ia perlu dipandang serius dan segera diperkasakan. 

- Advertisement -

Pendekatan yang terlalu berpaksikan kepada ‘top down’ hari ini perlu dibantu dengan pendekatan ‘bottom-up’. Kerajaan perlu memperkasakan komuniti atau ‘community empowerment’ melalui pendekatan bottom-up, bagi membantu pendekatan yang terlalu bersifat ‘top-down’ ini masa kini.

Bukti-bukti sebelum ini menunjukkan banyak pendekatan ‘bottom-up’ berjaya membantu kerajaan, sekiranya kita (rakyat) diberikan kepercayaan. Memang diakui, kerajaan mempunyai segala ‘prasarana, kepakaran dan dana dalam mengurus dan mengekang pandemik ini’. Namun, perlu diingatkan, yang menerima padah ini adalah rakyat. 

Ditambah pula dengan ketiadaan kesedaran tinggi mengenai bahaya virus ini, pelaksanaan Prosedur Operasi Standard (POS) dan SOP yang sering disaksikan ada ‘kebocoran’, serta tekanan sosial dan ekonomi yang mendesak. Kesan daripada keadaan yang agak tidak tersusun ini menghasilkan kegusaran dalam kalangan rakyat.

Tidak kurang juga yang marah, benci dan meluat kepada pelaksanaan POS yang tidak kemas, lalu pelanggaran makin menjadi-jadi, serta kewujudan varian-varian baharu yang cepat merebak. Lantas penularan meningkat mendadak dalam masa singkat. 

Justeru, pandangan saudara Anas Aminin Wan Izzuddin, disokong oleh Fauzi Shaffie mengenai pemerkasaan komuniti (community empowerment) mesti diambil kira dan dilaksanakan, agar dapat membantu meningkatkan keberkesanan pengurusan pandemik yang meruntuhkan pelbagai struktur negara ini. Kami percaya, sekiranya komuniti diberi ruang dan peluang untuk membantu, ianya akan mempercepatkan kehadiran kejayaan dalam perang halimunan ini. 

Apabila kerajaan bertindak sebagai ‘hanya kami yang tahu’, maka orang ramai hanya bertindak balas, sama ada akur, buat tidak endah atau melawan, kerana dalam masyarakat kita sudah sedia ada ‘virus politik’ yang akan ‘sokong kerajaan’, ‘anti-kerajaan’ dan ‘golongan tidak kisah’ (Fauzi Shaffie 2021). 

Apabila pengurusan pandemik dikaitkan dengan politik, dalam keadaan orang ramai tidak begitu yakin dengan bahaya virus ini, malah wujud sebilangan besar daripada mereka yang memperlekeh usaha kerajaan, walaupun ianya adalah untuk kebaikan mereka.

Mungkin ada pula mereka yang sengaja mahu melihat apa sahaja usaha kerajaan ditolak atau gagal, tanpa mereka sedar bahaya yang telah menyelinap masuk ke dalam komuniti, malah rumah mereka sendiri.

Pihak berkuasa juga tidak seharusnya berasa hanya mereka yang tahu segalanya, terutama dalam menghadapi pandemik yang begitu cepat merebak, dan seharusnya mendapat kerjasama terbaik daripada orang ramai atau rakyat keseluruhannya. Kerjasama terbaik susah dicapai tanpa kerajaan menunjukkan penghormatan kepada orang ramai. 

Penghormatan itu mudah, iaitu dengan mengiktiraf bahawa orang ramai, yang di dalamnya, ada pelbagai profesional atau bekas profesional, termasuk profesional kesihatan, juga boleh membantu membanteras kemaraan pandemik ini.

Cadangannya adalah supaya kerajaan membuka ruang kepada wakil orang ramai untuk turut terlibat, dan kerajaan hendaklah beri latihan yang perlu kepada mereka. Antara tugas yang mungkin boleh diberikan kepada mereka adalah ‘case detection’ atau ‘pengesanan kes’, dan ‘contact tracing’ atau ‘menyusur hubungan’.

Sebenarnya, Kerajaan Malaysia sudah ada struktur yang tersedia ada untuk diaktifkan pada jawatankuasa-jawatankuasa masyarakat, seperti Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), atau Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) atau apa jua nama yang diberikan. 

Pada masa sama, kerajaan boleh juga mengambil khidmat daripada badan-badan sukarela seperti Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM). Mungkin telah digemblengkan. Malah, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) sudah digunakan dalam Sekatan Jalan Raya (SJR). Justeru, khidmat sukarelawan lain juga diguna dalam proses mengkebumikan mangsa COVID-19. 

Maka, tidak ada sebab besar untuk tidak guna bantuan orang ramai dalam usaha pencegahan. Bagaimana kerajaan hendak laksanakan boleh dicari jalannya, dan dengan memberikan mereka ruang lingkup kuasa yang terbatas.

Apabila orang ramai melihat wujudnya dalam kalangan mereka sendiri yang terlibat, pastinya rasa ingin membantu semakin mendalam dan tersebar luas. Seterusnya, membawa kepada rasa untuk patuh kepada SOP dengan lebih serius.

Dengan cara ini juga, beban kerajaan akan berkurangan dan kerajaan akan ada lebih ruang untuk memberi tumpuan kepada bidang yang lebih memerlukan, dan kepercayaan kepada kerajaan akan kembali pulih dalam pengurusan pandemik ini. 

JPKK atau MPKK juga akan lebih cepat membuat ‘contact tracing’ kerana mereka sudah tahu selok belok tempat mereka sendiri serta komuniti mereka, dan begitu juga dengan pelaksanaan keperluan kebajikan keluarga yang terlibat. 

Kami percaya cadangan ini adalah munasabah, dan kerajaan boleh membuat peraturan sesuai demi menjaga kerahsiaan dan maruah mereka yang terlibat. Sudah sampai masanya, ego ‘kami sahaja yang tahu’ perlu dipendamkan sedikit, demi rakyat tercinta yang telah memberikan mandat kepada kerajaan untuk menjaga mereka. Kita jaga kita. Kita jaga rakyat. Rakyat jaga kita

PROF DR MOHD RIDHUAN TEE ABDULLAH – HARAKAHDAILY 20/5/2021

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -