Pelajar Pasti turut bantu Tabung Palestin

- Advertisement -

KANGAR: Pelajar-pelajar Pasti turut menyambut seruan menderma bagi mengisi tabung kemanusiaan untuk membantu penduduk Islam di Palestin.

Pesuruhjaya PAS Perlis Mohd Shukri Ramli berkata, pelajar Pasti digalakkan menyumbang RM1 setiap seorang dengan sasaran di seluruh negara seramai 100,000 pelajar Pasti.

- Advertisement -

Kata beliau juga PAS Perlis berjaya mengumpul kutipan dana untuk membantu rakyat Palestin sebanyak RM30,891 yang diusahakan PAS Padang Besar, Kangar dan Arau.

“Badan Perhubungan PAS Perlis melancar kutipan derma jihad bermula 15 Mei lalu yang melibatkan seluruh dewan, kawasan dan cawangan di negeri itu.

“Semua sumbangan yang dikumpul akan diserah kepada Sekretariat Aid4Palestine. Malah pelajar Pasti juga tampil menderma,” katanya di sini hari ini.

Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Ustazah Latifah Mat pula berkata, sayap PAS itu berjaya mengumpul dana melebihi sasaran iaitu sebanyak RM22,135.

Sedangkan menurutnya Dewan Muslimat pada awalnya hanya menyasarkan kutipan sebanyak RM5,000.

“Alhamdulillah kita berjaya melebihi sasaran kutipan walaupun Perlis hanya sebuah negeri yang kecil.

“Di samping itu marilah kita sama-sama meneruskan munajat dan doa agar penderitaan rakyat Palestin segera berakhir,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/5/2021

- Advertisement -