
DUA audio WhatsApp disebarkan pasal nasihat ‘maulana’ supaya jangan buat swab test COVID-19 jika diminta. Malah pengulas itu kata, cukup berkurung dekat rumah dan amalkan minum air kelapa tua campur limau. Rahsiakan pergerakan kita, kerana COVID-19 itu agenda Yahudi dan swab test adalah salah satu cara untuk Yahudi menyekat umat Islam solat berjamaah di masjid surau.
Saya cukup tak tahan dengan nasihat tak cerdik sebegini. Maaflah, saya bukan tak hormati maulana atau orang alim, tetapi bab kesihatan dan kawalan wabak sebegini, kena ada batasnya juga. Mungkin tak ramai maulana yang berfikiran lagu ini, tetapi ulasan sebegitu sedikit sebanyak mempengaruhi orang kampung yang sudah cetek maklumat.
Apabila seseorang itu positif COVID-19, wajib terima arahan Bilik Gerakan COVID-19. Jangan memandai sendiri. Bilik gerakan akan buat tracing, iaitu menjejaki siapa kontak rapat indeks kes positif tadi. Kalau maulana yang menjadi rujukan ilmu agama itu berbohong dan mengajar anak murid berbohong, rosaklah masyarakat. Wabak akan semakin teruk. Rantaian jangkitan virus tidak akan putus.
Kenapa kita tak ambil iktibar dari berita-berita yang sudah berlaku? Makin ramai mati dekat rumah kerana pandang mudah bab ini. Mereka yang positif lambat buat keputusan untuk ke pusat kuarantin mahupun hospital dek kerana nak buat rawatan sendiri ajaran guru.
Marilah kita insafi, wabak ini jangan pandang remeh. Rumah mayat Selangor telah hampir penuh dan terpaksa sewa kontena khas sebab kes BID (Brought in Death) makin meningkat. Katil ICU pun sudah tepu. Kami tak nak biarkan ramai lagi masuk ke sana. Puncanya duduk dengar nasihat dari pihak tak bertauliah. Sembang saja lebih. Kena pada diri sendiri baru tahu Rabu Khamis.
Leni dah jadi kluster dekat dalam pondok, masjid atau institusi agama. Kadang-kadang menimbulkan fitnah pula. Walaupun sebahagian besar jamaah ikut SOP, tetapi ada seorang dua yang sembang lebih, merasai diri kebal – bangkang nasihat dari pihak berwajib. Ironinya, apabila berlaku kluster semua orang kena termasuk alim ulamak yang jujur.
Ada satu madrasah di Kelantan, buat solat tak ikut SOP. Selipar semua susuk supaya polis tak tahu. Lampu surau tutup, solat dalam gelap. Ttiba-tiba jadi kluster geng surau. Ingat kes sporadik sekarang ini dah mencecah 70 peratus. Makna kata kita tak tahu dah sumber jangkitan dari indeks mana. Tiba-tiba berlaku kes positif di satu-satu lokaliti. Apabila pegawai penyiasat bertanya, cuba menipu ke mana beliau jejaki. Akhirnya kes semakin meluas.
Jangan beri nasihat tak cerdik lagu ini. Kita yang dalam group WhatsApp pun jangan duduk gatal tangan share merata tempat. Mungkin dapat dosa kering sebab sebar nasihat tak cerdik itu. Bukan nak cari salah sesiapa, tapi sama-sama kita beri peringatan.
Semoga Allah beri keampunan di bulan Syawal ini.
“Self Lockdown”
DR SUHAZELI ABDULLAH
Pakar Perubatan Keluarga
Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) – HARAKAHDAILY 20/5/2021
PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.




















