
SAYA mengucapkan jutaan tahniah kepada kerajaan di bawah Perikatan Nasional (PN) atas tindakan pantas susulan kejadian kompaun yang telah meresahkan sesetengah rakyat.
Hasil perbincangan Exco Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, bersama dengan pihak Jabatan Kesihatan Negeri Perak telah berjaya mengecualikan kesemua enam pelajar matrikulasi yang didenda RM1,500 kerana tidak memakai pelitup muka susulan.
Selain itu, respons Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-undang) berkaitan kompaun maksimum kepada individu berjumlah RM10 ribu telah menyebabkan pihak PDRM Kelantan meneliti dan memanggil semula pemilik premis untuk menawarkan nilai kompaun mengikut garis panduan yang telah ditetapkan.
Ini menunjukkan keprihatinan Kerajaan PN terhadap suara dan keluhan rakyat didengari dan diambil tindakan yang sebaiknya. Selain itu, pihak kerajaan perlu meneruskan pendirian untuk tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak dalam menguatkuasakan SOP berkaitan COVID-19 dan dalam masa yang sama, menerapkan elemen budi bicara di dalam setiap tindakan.
Semoga rakyat dan negara ini akan sentiasa berganding bahu bersama-sama mengharungi fasa pemulihan dari pandemik COVID-19.
Terima kasih.
“Islam Memperkukuh Perpaduan”
YB SENATOR USTAZ IDRIS AHMAD
Ahli Dewan Negara
Naib Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS) – HARAKAHDAILY 28/4/2021











