Jangan takut dapat rawatan gigi semasa Covid-19

Foto hiasan.
- Advertisement -

PADA awal penularan pandemik Covid-19, klinik pergigian terpaksa ditutup kepada orang ramai dan hanya rawatan kecemasan sahaja dibenarkan dalam tempoh ini. Hanya kes kecemasan yang memerlukan cabutan gigi, kebengkakan gusi dan gigi trauma sahaja yang dapat dirawat pada sela masa tersebut.

Kini, mengikut panduan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia, rawatan pergigian yang lain seperti tampalan, rawatan pendakap gigi (braces), pembuatan gigi palsu, rawatan akar gigi dan sebagainya boleh dilakukan semula dengan langkah-langkah berjaga yang lebih ketat.

- Advertisement -
DR JOHN CHONG KEAT HON

Garis panduan ini dipakai di semua klinik pergigian kerajaan, klinik pergigian swasta dan juga klinik pergigian di semua Fakulti Pergigian yang memberi perkhidmatan rawatan pergigian. Orang ramai tidak perlu bimbang untuk mendapatkan rawatan pergigian kerana terdapat standard operating procedure (SOP) yang ketat diamalkan oleh klinik pergigian. SOP ini dikeluarkan bagi mengelakkan penyebaran jangkitan virus Covid-19 daripada individu yang dijangkiti kepada individu yang sihat.

DR AZRUL HAFIZ ABDUL AZIZ

Oleh kerana kebanyakan individu yang dijangkiti wabak Covid tidak menunjukan simptom atau hanya mengalami simptom ringan seperti batuk, demam dan selesema, satu mekanisma perlu dipatuhi bagi mengelakan berlakunya jangkitan antara pesakit, doktor dan kakitangan di klinik pergigian. Bagi kebanyakan fasiliti pergigian, rawatan adalah berdasarkan temujanji dan laluan pesakit dibuat secara satu arah sahaja di mana laluan keluar masuk dibuat secara berasingan. Ini bagi mengelakkan pertembungan sesama pesakit.

Bagi bilik rawatan pergigian yang melibatkan rawatan seperti rawatan tampalan gigi, pencucian gigi (scaling) serta rawatan yang melibatkan pembebasan air dan cecair (aerosol generating procedure) perlu dilengkapi dengan sistem penghawa dingin sekiranya bilik rawatan bertutup dan membuka pintu/tingkap sekiranya tidak dilengkapi sistem penghawa dingin. Selain itu, pemakaian alat pelindung diri atau personal protective equipment (PPE) adalah diwajibkan kepada kakitangan yang merawat.

Pesakit yang telah disahkan positif Covid-19 atau dikategorikan sebagai berisiko tinggi, rawatan kecemasan yang melibatkan AGP hanya boleh dilakukan di hospital yang dilengkapi dengan bilik khas (Negative pressure room/ Airborne Infection Isolation Room) atau mempunyai bilik berasingan yang bertutup.

Namun begitu, bagi pesakit Covid-19 atau berisiko tinggi yang berada terlalu jauh dari hospital ini, rawatan kecemasan ini disarankan ditangguh ke masa yang lain atau pergi ke klinik yang mempunyai fasiliti yang khas.

Ketika mendapatkan rawatan pergigian, pesakit perlu menjalani saringan di kaunter klinik bagi menentukan kadar risiko jangkitan. Selain itu, pesakit perlu mendaftar dan mengimbas di aplikasi MySejahtera. Berdasarkan saringan ini, pegawai pergigian akan menentukan jenis dan kaedah rawatan yang sesuai berdasarkan pemeriksaan secara klinikal, risiko jangkitan dan kemudahan yang ada di klinik.

Pesakit yang tidak mempunyai sebarang gejala jangkitan Covid-19 boleh menjalani sebarang rawatan pergigian mengikut kemudahan yang terdapat di fasiliti klinik pergigian tersebut. Pesakit yang telah sembuh daripada Covid-19 dengan keputusan negatif ujian saringan atau mendapat nota discaj daripada pengamal perubatan serta bebas daripada gejala Covid-19 boleh dirawat sebagai pesakit biasa.

Selain daripada itu, semasa berada di klinik pergigian, pesakit perlulah mengamalkan penjarakan antara satu sama lain dan memakai pelitup muka pada setiap masa kecuali semasa mendapat rawatan pergigian. Penggunaan ubat kumur pra-prosedur 1.5 peratus hidrogen peroksida dan/ atau 0.2-1 peratus ubat kumur povidone iodine selama 30 saat kepada 1 minit sebelum rawatan juga dicadangan untuk dilakukan kepada setiap pesakit. Jumlah pesakit juga adalah dihadkan pada satu-satu masa bagi mengurangkan kesesakan. Sekiranya terdapat gejala batuk dan demam, temujanji di klinik pergigian haruslah ditangguh ke suatu masa yang lain.

Secara kesimpulannya, pada masa kini rawatan pergigian boleh kembali dilakukan dengan mematuhi garis panduan yang ditetapkan. Jangan takut untuk melakukan pemeriksaan gigi secara berkala setiap enam bulan pada masa pandemik Covid-19 ini. Gigi yang cantik dan sihat amalan hidup kita.

Penulis:
PROF MADYA DR AZRUL HAFIZ ABDUL AZIZ

Pakar Pergigian Ortodontik
Fakulti Pergigian, Universiti Sains Islam Malaysia

DR JOHN CHONG KEAT HON
Pakar Bedah Mulut
Fakulti Pergigian, Universiti Sains Islam Malaysia – HARAKAHDAILY 28/4/2021

- Advertisement -