Muslimat Johor jengah kesulitan hidup warga asnaf

- Advertisement -

MUAR: Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan (LKK) Muslimat PAS Negeri Johor dengan kerjasama LKK Muslimat PAS Kawasan Muar telah mengadakan program Semarak Kasih Ramadan, di sini kelmarin.

Program bertujuan menyantuni golongan kurang mampu dengan memberikan sumbangan barang keperluan dapur kepada penerima masing-masing penduduk dalam DUN Sungai Balang dan DUN Maharani.

Ziarah dan sumbangan diketuai Timbalan Pengerusi LKK Muslimat PAS Johor, Ruzitah Pungot bersama Setiausahanya Norhidayah Mohamad serta Ahli Jawatankuasa Briged Muslimat PAS Johor Raihanah Zulkifly.

- Advertisement -

Hadir sama ialah Ketua Muslimat PAS Muar Norhayati Sulaiman dan Pengerusi LKK Muslimat PAS Muar, Norhaizan Mokhsin SERTA beberapa orang ahli jawatankuasanya. 

Antara golongan asnaf disantuni ialah seorang ibu yang mempunyai anak yang ada penyakit ketumbuhan sebesar 5 sentimeter di kepalanya. 

Penyakit yang dideritai itu sejak berusia 16 tahun sehingga kini sudah berusia 24 tahun di mana si anak itu terpaksa berhenti sekolah kerana kesihatan semakin merosot.

“Anak saya ini anak sulung tapi walaupun sedar dirinya berpenyakit tetapi semangatnya kuat untuk membantu ibu bapanya dan sering membantu saya memarut kelapa untuk dijual,” ujar si ibu, Miszila Tukijo

Tambahnya lagi, suaminya telah kehilangan pekerjaan sebagai pemandu bas kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 dahulu dan kini bekerja kilang dengan pendapatan RM1,100. 

Terangnya, kehidupan serta kewangan mereka agak terjejas untuk menanggung ahli keluarga seramai sepuluh orang, tetapi beliau sedang dalam usaha untuk memohon bantuan peralatan memarut kelapa yang lebih moden dan efisien.

Misi seterusnya menyantuni mereka yang hampir semuanya warga emas yang uzur dan hidup seorang diri atau menumpang bersama ahli keluarga di mana kunjungan itu ternyata amat menyentuh jiwa ahli rombongan. 

Mereka didapati hidup mengharapkan ihsan orang sekeliling sama ada bantuan kewangan, makanan atau tempat tinggal. – HARAKAHDAILY 19/4/2021

- Advertisement -