Operasi PASTI bersemuka di kawasan PKP ditutup

- Advertisement -

KOTA BHARU: PASTI Negeri Kelantan mengambil keputusan menutup dan menangguh pembelajaran secara bersemuka di semua PASTI yang berada di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 hingga 22 April ini.

Menurut kenyataan pengurusan PASTI Kelantan, keputusan itu dibuat dengan mengambil kira perkembangan semasa kes covid-19 di Kelantan sekarang.

Oleh itu guru-guru perlu melaksanakan pengajaran secara atas talian (PDPR) sepanjang tempoh tersebut.

- Advertisement -

“Bagaimanapun guru-guru diminta hadir ke PASTI hari ini bagi memastikan ibubapa menerima maklumat penutupan tersebut,” kata kenyataan tersebut awal pagi tadi.

Menurutnya PASTI Cawangan diberi kebenaran menerima murid pada hari Ahad sahaja bagi ibu bapa yang tidak berkesempatan untuk mencari tempat alternatif untuk menghantar anak, dengan syarat murid tidak bergejala dan tiada PdP di PASTI.

Katanya juga penerimaan murid tersebut hanya sekadar untuk penjagaan sahaja.

“Sila pastikan maklumat penutupan PASTI sampai ke pengetahuan ibubapa menjelang waktu subuh pagi tadi,” katanya.

Semua sesi pembelajaran di tujuh jajahan yang dikenakan PKP di Kelatan ditangguh yang melibatkan semua sekolah di bawah Jabatan Pendidikan dan Yayasan Islam Kelantan.

Sehingga sekarang hanya jajahan Kuala Krai, Jeli dan Gua Musang sahaja yang tidak dikenakan PKP.

Bagaimanapun kadar kebolehjangkitan Covid-19 di Kelantan begitu tinggi sekarang sehingga mengatasi peringkat nasional. – HARAKAHDAILY 18/4/2021

- Advertisement -