Muslimat Jaya Gading rancakkan amal sempena Ramadan

- Advertisement -

PEKAN: Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak lebih setahun lalu masih terkesan kepada segenap lapisan masyarakat, termasuk ke atas para amilin PAS yang biasa berkumpul dan berprogram dengan pelbagai bentuk pengisian.

Namun setelah kelonggaran diberi, aktiviti terus disusun disesuaikan dengan norma baharu misalnya usrah yang dahulu dibuat secara tetap dengan kehadiran fizikal telah bertukar format kepada perjumpaan atas talian.

Muslimat PAS Cawangan Jaya Gading turut beradaptasi dengan perubahan ini, namun masih mengekalkan aktiviti solat sunat tasbih secara mingguan yang dipimpin secara bergilir oleh Timbalan Ketua Muslimat PAS Kawasan Pekan, Jamilah Chu dan Ketua Muslimat PAS Jaya Gading, Noorlela Abdul Razak. 

- Advertisement -

Aktiviti yang merupakan sebuah program terbuka kepada kaum hawa berada di sekitar kawasan ini dilangsungkan di Balai Islam Jaya Gading bermula jam 9:00 pagi setiap minggu pada hari Jumaat.

“Program ini bertujuan untuk menarik minat muslimat, kerana solat sunat tasbih amat sukar dilakukan secara persendirian. Kalau secara berjemaah, ada kekuatan untuk melakukannya. Tidak dinafikan dalam keadaan COVID-19 sekarang serta peredaran teknologi, boleh sahaja program seperti usrah dan liqa dibuat secara atas talian. 

“Tetapi program seperti munajat, solat tasbih berjemaah seperti ini akan ada suatu perasaan yang cukup berbeza apabila dilakukan secara berjemaah,” ujar Jamilah Chu yang juga merupakan Pengerusi Lajnah Tarbiyah Muslimat PAS Pekan.

Pada kebiasaannya selepas solat sunat, slot tadabbur surah daripada juzuk Amma secara harfiah akan menyusul, namun sempena Ramadan, diisi pula dengan tazkirah ringkas yang telah disampaikan oleh Noorlela Abdul Razak.

Dalam tazkirahnya, beliau menekankan empat elemen yang perlu dipraktikkan bagi menambahkan keimanan pada bulan Ramadan, iaitu musyarathah, muraqabah, muhasabah dan mujahadah.

Musyarathah itu kita berjanji atau letak syarat. Contohnya kita katakan pada diri, puasa tahun ini tidak mahu membazir ataupun tahun ni nak baca Quran satu juzuk satu hari. Kita tulis pada kertas, pastu tampallah kat tempat yang kita mudah nampak.

“Kemudian kita kenalah perhatikan betul ke kita ni dah laksanakan syarat tersebut atau sekadar cakap saje, tapi tak buat pun. Ini dinamakan muraqabah.

“Tengok balik apa yang dah kita tulis sebelum ni, adakah kita buat seperti yang dihajati dan apakah usaha kita untuk mendapatkannya. Muhasabah atau nilai sendiri di mana kurangnya usaha kita.

“Kerana ini adalah peluang untuk terus memperbaiki diri dan kenalah bermujahadah agar tercapai target kita tu,” terang beliau.

Masing-masing yang merupakan peserta Akademi Pengajian Saidatina Aisyah (APSA) di bawah Dewan Muslimat PAS Malaysia mengharapkan agar program ini diperluaskan dan menjadi rutin para suri rumah terutamanya di Jaya Gading. – HARAKAHDAILY 19/4/2021

- Advertisement -