
PASIR MAS: Kerajaan negeri memperuntukkan sejumlah RM45,000 bagi membantu 45 mangsa yang kehilangan rumah dan terjejas pada kejadian tanah runtuh di Kampung Pohon Chelagi.
Anggota Exco kerajaan negeri, Dato’ Hanifa Ahmad berkata, sumbangan sebanyak RM1,000 diberikan kepada setiap mangsa terlibat.
Manakala sejumlah RM2,000 diberikan kepada empat penduduk yang kehilangan rumah pada kejadian tersebut.
Selain itu, katanya kerajaan negeri mengambil kira cadangan dikemukakan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi menstabil runtuhan tebing Sungai Kelantan di Kampung Pohon Chelagi.
“Kita mahu masalah tersebut diselesaikan segera sebelum berdepan musim tengkujuh pada akhir tahun ini.
“JPS akan menyediakan kaedah dan akan mengurus dengan mendapatkan bajet bagi menjalankan projek berkenaan,” katanya selepas menyampaikan sumbangan kepada mangsa yang terjejas di Dewan Majlis Dearah Pasir Mas hari ini.
Beliau yang juga Adun Pengkalan Pasir turut mengalukan mana-mana pihak sekiranya ingin membantu mangsa yang terlibat.
Sementara itu Ahli Parlimen (MP) Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari mendesak kerja-kerja mengorek pasir di kawasan pesisir Sungai Kelantan dihentikan sementara waktu.
Langkah itu, katanya tepat bagi mengelakkan berlakunya runtuhan yang lebih besar dalam tempoh terdekat susulan runtuhan tebing sungai di Pohon Chelagi.
Seramai 50 penduduk di kampung tersebut dipindahkan serta merta selepas berlaku kejadian tanah runtuh sepanjang 200 meter di tebing Sungai Kelantan berhampiran Dataran Air Muleh. – HARAKAHDAILY 18/2/2021











