DidikTV: PENDIDIK optimis lima juta pelajar dapat manfaat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Persatuan Kebajikan Pendidik Ummah Malaysia (PENDIDIK) menyambut baik dan menzahirkan ucapan tahniah kepada Kementarian Pendidikan Malaysia (KPM) atas pelancaran saluran khusus TV pendidikan secara percuma, DidikTV.

DidikTV merupakan saluran yang kali pertama diperkenalkan, mula bersiaran semalam, menerusi saluran 107 di MYTV, saluran 147 di ASTRO dan saluran ntv7 di TV UNIFI, bermula 7 pagi hingga 12 tengah malam setiap hari.

Pengerusinya, Normala Sudirman berkata usaha ini diharapkan dapat membantu pelajar, guru dan ibu bapa serta menjadi sebagai sokongan kerana Pelaksanaan Pengajaran Dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR) belum dapat dilaksanakan sepenuhnya atas faktor kekangan atas talian.

- Advertisement -

“Didik TV KPM yang disiarkan bermula 7 pagi hingga 12 malam bermula 17 Februari 2021 amat penting khususnya bagi membantu pelajar menduduki peperiksaan utama seperti SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) dan STPM (Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia),” katanya kepada HarakahDaily, hari ini.

Menurutnya, saluran khas pendidikan itu merupakan platform untuk memupuk budaya ilmu dan pembelajaran sepanjang hayat yang merangkumi aspek Kurikulum dan Ko-Kurikulum.

Selain itu, katanya ia turut memaparkan jadual untuk hebahan kepada rakyat melalui media elektronik dan media bercetak.

Jelas Normala yang juga Ahli Jawatankuasa Lajnah Pendidikan PAS Pusat, saluran itu juga menampilkan kombinasi terbaik warga pendidik yang berkaliber dan pelbagai informasi berguna supaya dapat diakses oleh golongan sasaran terutama pelajar dan warga pendidik.

“Saya optimis dan percaya penambahbaikan akan dibuat dari masa ke semasa bagi memastikan saluran DidikTV KPM yang mensasarkan manfaat kepada lima juta pelajar di Malaysia serta semua pihak yang terlibat,” katanya lagi.

Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam ucapan perasmiannya menyatakan keyakinan bahawa DidikTV KPM akan dapat membantu pelaksanaan PdPR, khususnya bagi murid yang tidak mempunyai akses kepada pendidikan secara dalam talian berikutan tidak mempunyai akses internet atau peranti yang sesuai.

Berkata Muhyiddin, pelaksanaan PdPR secara dalam talian masih belum dapat dilaksanakan sepenuhnya dalam tempoh yang singkat, memandangkan kepelbagaian latar belakang murid-murid dengan ada yang tinggal di kawasan bandar, luar bandar ataupun kawasan pedalaman. HARAKAHDAILY 18/2/2021

- Advertisement -