Pengamal media terima bakul makanan PKP 2.0

Mohd Zaid (kanan) dan Khairul Azlam (kiri) bersama anggota skuad Ketengah Ambik Cakne memunggah bakul makanan untuk pengamal media di ibu pejabat Kumpulan Ketengah Holding Sdn Bhd (KHSB), Dungun.
- Advertisement -

DUNGUN: Warga petugas media juga tidak dilupakan apabila Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) melalui skuad ‘Ketengah Ambik Cakne’ telah menyumbang bakul makanan kepada pengamal media.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Ketengah Holding Sdn Bhd (KHSB), Mohd Zaid Sulaiman berkata, golongan pengamal media juga adalah petugas barisan hadapan yang wajar diberi perhatian.

- Advertisement -

Katanya, jasa dan pengorbanan golongan pengamal media juga amat besar dalam melaporkan situasi semasa penularan pandemik Covid-19 di negara ini.

“Pengorbanan mereka (pengamal media) melaporkan pelbagai kes berkaitan penularan Covid-19, termasuk menyampaikan nasihat oleh kerajaan melalui media cetak dan elektronik harus dihargai semua pihak.

“Kita dimaklumkan, ada antara pengamal media sanggup ke lokasi kejadian untuk melaporkan pelbagai kes secara lebih tepat kepada seluruh masyarakat, dan terpaksa menjalani proses kuarantin apabila mereka mempunyai kontak rapat dengan pesakit yang disyaki positif Covid-19,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika mewakili Pengerusi Ketengah, Senator Dato’ Razali Idris pada Majlis Penyerahan Bakul Makanan kepada Presiden Kelab Wartawan Media Terengganu (KAWAT), Khairul Azlam Mohamad, di Bandar Al-Muktafi Billah Shah (AMBS), Dungun, 17 Februari lalu.

Menurut Mohd Zaid, mesyuarat ALP Ketengah yang dipengerusikan oleh Dato’ Razali memutuskan, telah meluluskan bantuan bakul makanan ini sebagai menghargai peranan dan tanggungjawab pengamal media.

“Ketengah membelanjakan RM747,549, bagi menyediakan 2,091 bakul makanan untuk membantu masyarakat di seluruh negeri yang terkesan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 yang berakhir pada 18 Februari.

“Bantuan bakul makanan bukan sahaja disalurkan kepada masyarakat terkesan yang tinggal di kawasan pentadbiran Ketengah, malah kepada mereka yang tinggal di luar kawasan pentadbiran,” jelasnya kepada Harakah.

Hadir sama pada majlis itu, Ahli Lembaga Pengarah (ALP) Kilang Sawit Panji Alam Sdn Bhd, Mek Zaharah Husian dan ALP Ketengah Perwira Sdn Bhd, Zawawi Ahmad.

Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) merupakan sebuah agensi di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar yang telah diperbadankan pada 12 April 1973 dan diberi kuasa menjalankan pembangunan ekonomi dan sosial di pedalaman daerah Dungun, Kemaman dan Hulu Terengganu.

Pada 12 Jun 1993, kawasan Pembangunan Tasik Kenyir, Hulu Terengganu seluas 209,199 hektar telah digezetkan sebagai sebahagian daripada kawasan Ketengah, menjadikan keseluruhan wilayah Ketengah berjumlah 653,075 hektar atau kira-kira satu perdua daripada keluasan negeri Terengganu. – HARAKAHDAILY 18/2/2021

- Advertisement -