
KOTA BHARU: Tidak lama selepas heboh diperkatakan isu laman persundalan Sugarbook kerajaan Perikatan Nasional (PN) bertindak segera menyekat laman sesawang berkenaan bermula semalam.
Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan, Mohd Ariff Abdullah berkata, kerajaan PN dianggap memahami keluhan rakyat terhadap isu tersebut.
Katanya, kerajaan bertindak segera selepas banyak pihak meluahkan kebimbangan terhadap penularan aktiviti tidak bermoral tersebut.
“Saya mengucapkan tahniah kerana kerajaan mendengar isi hati dan kebimbangan rakyat tentang isu tersebut.
“Saya juga tidak ketinggalan merakam ucapan tahniah kepada Dewan Pemuda PAS Malaysia kerana mengambil langkah proaktif mengadakan perbincangan dan memberikan penegasan kepada Kementerian Dalam Negeri supaya mengambil tindakan tegas,” katanya di sini.
Semalam Suruhanjaya Komunikasi dan Multi Media (SKMM) menyekat laman sesawang Sugarbook yang dikaitkan mempromosi aktiviti tidak bermoral dengan mendorong pelajar institusi pengajian tinggi bertindak sebagai sugar dady.
Aplikasi Sugarbook dilancar di negara ini pada 2017 dikendalikan seorang rakyat Malaysia yang dikenali Darren Chan.
Mohd Ariff juga berkata, ada pihak yang terpengaruh dengan kegiatan yang tidak bertamadun itu semata-mata untuk hidup mewah.
Menurutnya, kerajaan tidak menunggu masa yang lama untuk bertindak bagi menyekat laman yang mempromosi kegiatan tidak bermoral tersebut.
Bagaimanapun beliau berharap kerajaan terus memantau bagi memastikan supaya kejadian seumpama itu tidak berulang. – HARAKAHDAILY 16/2/2021











