
KUALA LUMPUR: Kerajaan dicadangkan agar menjalinkan kerjasama dalam memberi dan menyalurkan pelbagai projek pembangunan yang diusahakan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi memberi suntikan kewangan kepada agensi tersebut.
Penganalisis politik, Prof Madya Dr Anuar Shah Bali berkata, pandemik Covid-19 bukan sahaja memberikan impak kepada kesihatan orang awam, malah menjejaskan hasil pendapatan dan ekonomi negara secara perlahan-lahan.
“Walaupun aset KWSP sekitar RM940 bilion, namun tidak dapat dinafikan sedikit sebanyak menjejaskan pelaburan di dalam KWSP itu sendiri meskipun pengeluaran hanya sekitar 10 hingga 12 peratus kepada para pencarum.
“Jika kerjasama projek-projek pembangunan dapat dijalinkan KWSP bersama kerajaan, dalam jangka masa pendek akan memberikan kesan iaitu sekitar 10 hingga 12 peratus daripada aset keseluruhan.
“Namun dalam jangka masa panjang, kerjasama yang masih diteruskan dengan projek pembangunan dapat membantu KWSP membuat suntikan kewangan dan seterusnya meningkatkan semula pendapatan atau simpanan pencarum,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu temu bual dalam talian di dalam program Malaysia Petang Ini (MPI) anjuran Bernama TV, semalam.
Turut bersama beliau, Presiden Majlis Belia Malaysia, Jufitri Joha selaku panelis.
Sementara itu, beliau yang juga merupakan Pensyarah, Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata, kerajaan perlu memikirkan cara untuk membantu rakyat bagi meneruskan kelangsungan hidup setelah caruman KWSP dikeluarkan bagi keperluan mendesak ketika ini.
“Kalau dilihat caruman di dalam KWSP itu mempunyai 7.63 juta ahli KWSP yang aktif, yang mana 71 peratus pencarum mempunyai caruman RM50,000, manakala 42 dan 32 peratus masing-masing mempunyai caruman sekitar RM5,000 dan RM1,000.
“Kalau mengikut beberapa kajian menunjukkan bahawa jangka hayat rakyat Malaysia telah meningkat sehingga 75 tahun.
“Sekiranya pekerja bersara pada umur 55 atau 60 tahun bermakna mereka mempunyai sekitar 15 hingga 20 tahun kehidupan mereka.
“Kalau mengikut perkiraan, ia memerlukan sekitar RM240,000 hingga RM300,000 untuk meneruskan kelangsungan hidup sehingga 20 tahun. Itu sesuatu yang menjadi kegusaran dan perlu dilihat oleh kerajaan,” katanya lagi.
Sebelum ini, KWSP dalam proses memansuhkan syarat kemudahan i-Sinar berikutan nasihat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya KWSP menambahbaik inisiatif itu selepas mengambil kira maklum balas pihak awam.
Menteri Kewangan, Senator Tengku Dato’ Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz memaklumkan pemansuhan syarat bagi kemudahan i-Sinar itu akan membolehkan ahli KWSP yang berumur kurang daripada 55 tahun membuat pengeluaran daripada simpanan Akaun 1 mereka tertakluk kepada baki yang sedia ada.
“Bagi ahli yang memohon i-Sinar berdasarkan kriteria semasa, permohonan mereka akan diluluskan secara automatik tidak lama lagi.
“Selain itu, KWSP memaklumkan bahawa jumlah pengeluaran daripada Akaun 1 serta jadual pembayaran maksimum selama enam bulan akan kekal, iaitu bagi ahli yang mempunyai simpanan sebanyak RM100,000 dan ke bawah, mereka boleh membuat pengeluaran sehingga RM10,000.
“Pembayaran akan dibuat secara berperingkat dalam tempoh maksimum enam bulan dengan bayaran pertama sehingga jumlah maksimum RM5,000.
“Bagi ahli yang mempunyai lebih daripada RM100,000, mereka boleh membuat pengeluaran sehingga 10 peratus daripada simpanan Akaun 1 mereka. Walau bagaimanapun, jumlah pengeluaran maksimum yang dibenarkan adalah sebanyak RM60,000.
“Pembayaran akan dibuat secara berperingkat dalam tempoh maksimum enam bulan dengan bayaran pertama sehingga jumlah maksimum RM10,000,” katanya dalam kenyataan pada Khamis. – HARAKAHDAILY 16/2/2021











