Menjawab Mohib Khouli: COVID-19 bukan perkara kecil

- Advertisement -

SEMALAM ada dengar juga hujung-hujung muzakarah Mohib Khouli dengan Dr. Ustaz Rozaimi Ramle. Tak dapat follow dari awal sebab ada pengisian online dengan sahabat dari Sabah. Ustaz Mohib kata tak patut tinggalkan sunnah jarakkan saf sebab COVID-19 tak lah bahaya mana. 

Bagi beliau, 936 jumlah kematian tak berapa tinggi jika dibanding wabak-wabak lain. Maka tak patut korbankan sunnah rapat saf. Rasanya bukan dia seorang macam ini. Saya dengar ramai juga agamawan dan orang awam mempertikai. 

- Advertisement -

Kita kena faham, nyawa manusia amat berharga di sisi Islam. Allah berfirman:

ومن أحياها فكأنما أحيا الناس جميعا 

“Barangsiapa menjaga nyawa seorang manusia, maka seolah-olah dia menghidupkan semua manusia.”

[al-Maidah: 32]

Nabi S.A.W bersabda:

لزوال الدنيا أهون على الله عز وجل من سفك دم مسلم بغير حق.

“Runtuhnya dunia ini adalah lebih ringan bagi Allah berbanding terbunuhnya seorang Muslim tanpa hak.”

[Hadis Riwayat Ibn Majah]

Juga diriwayatkan:

   لهدم الكعبة حجراً حجرا أهون من قتل مسلم. 

“Runtuhnya satu persatu binaan Kaabah lebih ringan daripada terbunuh seorang Muslim.”

Jika di banding Kaabah runtuh dengan solat rapat saf, mana lebih besar?

Hadis ini menurut Sakhawi tidak dapat dipastikan riwayat. Namun banyak Hadis lain yang menyokong maknanya. Secara mafhum muafaqah, segala sunnah ibadat boleh dikorbankan demi menjaga maslahah nyawa. Hatta kiblat umat Islam boleh dikorbankan. Memanglah Nabi tak sebut Hadis jarakkan saf bila ada wabak. Tapi perkara ini bukan bermakna salah demi menjaga maslahah nyawa. 

Walaupun majoriti ulamak Ahlu Sunnah bersetuju bahawa menjaga nyawa berada pada martabat nombor 2, namun sebenarnya timbul khilaf antara ulamak. Ada ulamak letakkan pada keutamaan nombor 1.

Islam agama ihsan. Islam tidaklah terlalu rigid dalam ritual keagamaan sampai membiarkan orang mati semata-mata nak paksa orang solat secara sempurna. Dalam perang, disyariatkan solat Khauf. Ketika Musafir, disyariatkan solat Jamak dan Qasar. Ketika sakit, diharuskan solat duduk, mengiring dan sebagainya. Islam itu mudah.

Bila kita belajar Usul Fiqh, baru kita faham sumber hukum Islam selain al-Quran dan Sunnah, ada juga Ijma’, Qiyas, Masalih Mursalah, Qaul Sahabi, Istihsan, Istishab dan sebagainya.

Saidina Umar pernah larang seorang wanita berpenyakit kusta dari menggauli masyarakat, sampai dia mati. Amru bin al-As minta kosongkan semua tempat awam termasuk masjid masa wabak Amwas. Imam Malik 9 tahun terakhir tak pergi masjid sebab penyakitnya.

Mujurlah zaman hari ini, saintis dapat kesan virus boleh dielakkan jika penjarakan fizikal dilakukan dan memakai mask di tempat awam. Mana lebih baik, solat di masjid dengan jarak saf atau tak pergi masjid langsung?

Tapi kalau Ustaz Mohib dan agamawan sekepala tetap berkeras sebab Nabi tak buat, terserahlah. Mungkin pandangan mereka lebih hebat dari para Sahabat, Salafussoleh dan Ulamak Muktabar.

ALANG IBN SHUKRIMUN
1 Rejab 1442
13 Februari 2021 – HARAKAHDAILY 13/1/2021

- Advertisement -