Rumah baru OKU mangsa kebakaran mula dibina

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pelan rumah baru untuk OKU penglihatan bagi menggantikan rumah yang musnah dalam kebakaran di Kampung Pengkalan Nangka, kelmarin telah mendapat kelulusan pihak berkuasa tempatan.

Sehubungan itu, Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ustaz Datuk Haji Ahmad Marzuk Shaary berkata, rumah berkenaan mula dibina pada hari ini,

“Alhamdulillah, mendapat perkhabaran gembira, hasrat yang saya umumkan dua hari lepas, pada Selasa, 9 Februari 2021, telah mendapat kelulusan pihak berkuasa tempatan untuk mula dibina pada hari ini, 11 Februari 2021,” ujarnya.

- Advertisement -

Ahmad Marzuk mengucapkan terima kasih kepada pegawai-pegawai pusat khidmat beliau di Pengkalan Chepa yang menyegerakan urusan mendapatkan maklumat mangsa, menguruskan dokumen dan prosedur yang diperlukan.

“Terima kasih kepada pihak kontraktor, yang bersedia memulakan kerja segera hari ini,” ujarnya menerusi satu hantaran di Facebooknya, hari ini.

Menurutnya, pelan yang diluluskan itu adalah pelan yang digunapakai bersama untuk beratus-ratus rumah asnaf yang telah dibina dan diberikan secara percuma oleh Kerajaan Negeri Kelantan dan MAIK sehingga hari ini.

Tambahnya, usaha keselesaan tempat tinggal untuk rakyat itu juga termasuklah beribu-ribu rumah yang telah dibaiki.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pengkalan Chepa mensasarkan untuk membina sebanyak 37 buah rumah percuma bagi rakyat di kawasan parlimen itu pada tahun ini dengan anggaran peruntukan sebanyak RM2,000,000. – HARAKAHDAILY 11/2/2021

- Advertisement -