
KOTA BHARU: Di Kelantan boleh ditemui nama-nama ulamak terkenal diabadikan di tempat awam termasuk nama jalan raya, jambatan, masjid dan dewan.
Ada nama Jalan Tok Guru di jalan ke Pengkalan Chepa, Masjid Tok Guru di Tanah Merah dan Pulau Melaka, Masjid Pak Chu Hassan di Pasir Mas.
Selain itu Jalan Tok Kenali, Dewan Tok Kenali dan Jambatan Tok Kenali di Kubang Kerian serta Jambatan Pak Nik Lah di Pengkalan Chepa.

Di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melor pula akan dibangunkan Taman Rekreasi Tok Wali.
Taman Rekreasi Tok Wali mengambil nama seorang ulamak terkenal di kampung berkenaan iaitu Tok Wali Saad.
“Kampung ini pun dinamakan Kampung Tok Wali mengambil sempena namanya yang masyhur,” kata Adun Melor Dr Md Yusnan Yusof.
Menurutnya taman rekreasi itu akan dibina pertengahan tahun ini dijangka melibatkan kos kira-kira RM500,000.
Kata beliau taman berkenaan akan dibina di tanah kerajaan seluas lebih dua ekar yang akan turut dilengkapi pentas budaya.
“Setiap minggu kita akan anjurkan persembahan kebudayaan Kelantan termasuk seni silat atau dikir barat patuh syariat.
“Pada peringkat awal kawasan itu akan dibina track jogging, kolam, ruang pameran, dewan terbuka, balai kartun dan sudut bacaan,” katanya ketika ditemui di sini.
Beliau juga berkata, usaha itu dilakukan bagi membantu kerajaan negeri merealisasikan setiap kawasan parlimen mempunyai tempat rekreasi menarik yang menjadi tumpuan masyarakat tempatan.
Katanya hasrat kerajaan negeri itu disuarakan kerajaan pada persidangan Dewan Undangan Negeri sebelum ini.
Kawasan rekreasi yang mempunyai kolam atau tasik terdapat di Kuala Krai dan Gua Musang.
Malah di Gua Musang juga terdapat kolam mandi kanak-kanak yang dikendalikan di bawah Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar).
Di Kota Bharu pula terdapat tiga taman awam yang menjadi tumpuan ramai setiap hujung minggu iaitu Taman Tengku Anis, taman berhampiran Kompleks Kota Darulnaim dan Tugu Peringatan Jepun di Padang Tembak Pengkalan Chepa. – HARAKAHDAILY 11/2/2021











