
KUALA TERENGGANU: Masyarakat Tionghua sebagai sebahagian penduduk yang tinggal secara harmoni di Negeri Terengganu adalah saling melengkapi.
Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, malah mereka turut menyumbang ke arah pembangunan dan kesejahteraan negeri ini.
“Keakraban dan kemesraan antara kaum dapat dilihat di Terengganu semenjak sekian lama,” ujarnya dalam perutusan sempena Tahun Baharu Cina 2021.
Tahun ini, kata beliau kehadiran Tahun Baharu Cina diraikan dalam keadaan SOP yang ketat memandangkan pandemik Covid-19 belum berakhir.
Katanya, ia pasti memberikan seribu satu makna memandangkan sambutan kali ini amat berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya.
Namun, tambah beliau ia bukan penghalang untuk kita saling mengeratkan tali persaudaraan.
Sebaliknya, ujar Dr Samsuri, ‘perpisahan sementara’ ini akan mengajar kita untuk lebih menghargai saat bersama.
“Saya mengharapkan, dalam kegembiraan menyambut perayaan, jangan sesekali kita lupa bahawa jangkitan Covid-19 masih belum diputuskan,” katanya.
Beliau menyeru supaya mematuhi garis panduan (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan sentiasa utamakan keselamatan diri serta orang sekeliling kita.
“Bersama-sama kita berganding bahu dan berdoa agar pandemik ini segera berakhir dan kehidupan kita pulih seperti biasa,” katanya.
Mewakili kerajaan negeri, beliau mengambil kesempatan untuk mengucapkan Gong Xi Fa Cai dan Xin Nian Kuai Le kepada seluruh masyarakat Tionghoa di Malaysia khususnya di Terengganu.
“Semoga kehadiran tahun baru ini membawa keharmonian dan mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan,” ujarnya yang juga ADUN Ru Rendang. – HARAKAHDAILY 11/2/2021











