Banjir 2020 yang menjadi pelajaran

- Advertisement -

BANJIR yang melanda negara pada akhir 2020 yang lepas turut menenggelamkan rumah yang didiami oleh mak saya di atas sebidang tanah milik anak perempuan Tuan Guru Haji Mad Bukit Keledang. Oleh kerana air melimpah agak cepat maka saya dan abang-abang telah membuat keputusan tergesa dan pantas memindahkan ibu kami yang keuzuran (sakit tua) ke rumah abang di FELDA Purun Triang. 

Oleh kerana tidak sempat memindahkan keseluruhan barang maka saya telah berpesan kepada menantu Tuan Guru jika air masih berterusan naik, saya mohon beliau meminta bantuan pelajar-pelajar pondok memindahkan barang tersebut. Pada petang itu juga saya bergegas pulang ke Kuantan sebelum keseluruhan laluan ditutup atau tersekat. Itu pun saya terpaksa pulang melalui FELDA Sebertak Bera-Muazam Shah – Gambang-Kuantan. Mengambil masa 5 jam untuk sampai ke Kuantan.

- Advertisement -

Ketika di Kuantan hati saya tidak senang bila memikirkan rumah yang ditumpangi mak saya, lebih-lebih lagi ada berita dari Bukit Keledang mengatakan sebahagian besar barangan musnah. Pintu dikopak dan pecah. Namun maklumat dari menantu Tuan Guru yang sentiasa saya hubungi mengatakan barang-barang utama telah dipindahkan dan tak banyak yang belum dipindahkan. Hanya dua buah almari besar yang sudah sangat uzur. 

Sungguhpun begitu hati tetap tidak tenang, maklumlah bila memikirkan rumah itu hanya rumah yang kami tumpang atas ihsan tuan rumah dan tuan tanah. Menantu Tuan Guru yang juga teman saya sejak beliau belum berkahwin dengan anak Tuan Guru berkali-kali menghiburkan hati saya, bahawa tiada apa-apa. Bahkan beliau sekeluarga gembira sahaja jika mak saya yang mendiami kediaman di tapak tanah milik isteri beliau itu. Isteri beliau berkata “tinggallah di situ kerana Moknik (panggilan kepada mak saya) dah macam keluarga mereka”. 

Lega sedikit hati saya, alhamdulillah. Selepas banjir surut, saya terus balik melihat keadaan rumah dan barangan, semakin lega hati saya bila melihat tiada apa barang yang musnah kecuali dua almari uzur yang besar yang diberitahu oleh menantu Tuan Guru. Baju-baju tuan rumah dalam almari yang basah, dibasuh dan kemudiannya dilipat rapi oleh kawan-kawan kakak saya dari Dewan Muslimat Temerloh, terima kasih. 

Pinggan mangkuk tuan rumah juga selamat tanpa cacat, begitu juga peti ais mereka. Syukur kepada Allah. Sekurang-kurangnya khabar angin yang saya dengar mengatakan sebahagian besar barangan tuan rumah musnah itu tidak benar. 

Sedikit maklumat berkaitan Allahyarham Tuan Guru Haji Mohd Ilias (ATGHM) bekas Mudir Pondok an-Najjah Bukit Keledang.

Hubungan keluarga saya dengan ATGHM bermula seawal tahun 70-an. ketika itu beliau baru sahaja menamatkan pengajian di Pondok Pasir Tumboh Kelantan. Kali pertama beliau berkunjung ke Pahang bersama rakan rapat beliau Tuan Guru Haji Derani anak kepada Tuan Guru Haji Awang Lambor (bapa saudara mak saya). Oleh kerana bapa saudara saya Haji Musthafa (bekas imam tua Masjid Kampung Delima Wakaf Bharu) juga pelajar Pasir Tumboh, maka rumah saya menjadi persinggahan tempat mereka bermalam. 

Arwah ayah saya mengalu-alukan kedatangan mereka lebih-lebih lagi hubungan Haji Derani dengan mak dan ayah saya ialah sepupu. Ketika itu saya masih di sekolah Rendah. Saya tidak tahu apa tujuan kedua orang alim itu (kemudiannya ketika sedang belajar di Pondok Pasir Tumboh saya menjadi murid kepada kedua-dua mereka), berkali-kali berkunjung ke rumah saya. Namun kemudiannya saya mula faham bila mendengar perundingan mereka dengan arwah ayah dan mak saya untuk masuk merisik anak Tuan Guru Haji Abdullah (anak angkat Datuk Saudara saya TG Haji Awang Lambor) iaitu Kak Mukminah. Alhamdulillah acara merisik, pertunangan dan perkahwinan berjalan dengan lancar dengan kedua ayah dan mak saya terlibat sepenuhnya. 

Selepas berkahwin ATGHM sering menziarahi mak saya sepeti ibu beliau sendiri. Selepas ayah saya meninggal ATGHM mencadangkan mak saya tinggal di pondok beliau. Sejak tahun 1978 mak saya tinggal di Pondok an-Najjah dan menjadi guru Quran kepada warga tua pondok tersebut. Hubungan saya dengan ATGHM bukan sahaja bagai hubungan guru dan murid tetapi kami bagaikan adik dan abang. Lebih-lebih lagi beliau adalah penyokong tegar PAS sehingga ke saat kematian beliau.

Peristiwa banjir itu telah mengimbau kenangan lama saya bersama beliau dan keluarga. Sungguh pantas masa berlalu. Kini Abang Haji Mat dan Kak Nah sudah tiada. Yang ada hanya anak-anak dan menantu beliau. Mungkin dengan menetapnya mak saya kembali di Pondok itu akan mendekatkan kembali saya dan keluarga Allahyarham yang sudah agak menjauh disebabkan urusan kehidupan masing-masing.

USTAZ MOKHTAR SENIK
Ahli Jawatankuasa Kerja 
PAS Pusat – HARAKAHDAILY 9/2/2021

- Advertisement -