Timbalan menteri sertai operasi pematuhan Akta 446

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Sumber Manusia, Haji Awang Hashim turut menyertai satu operasi penguatkuasaan pematuhan Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 di Bukit Mertajam, hari ini.

“Pagi tadi, saya bersama Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) telah menjalankan satu operasi penguatkuasaan pematuhan Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 [Akta 446] ke atas sebuah syarikat di kawasan Perindustrian, Bukit Tengah, Bukit Mertajam, Pulau Pinang,” ujarnya dalam satu hantaran di laman sosial Facebook beliau.

- Advertisement -

Tambahnya, tujuan operasi itu dijalankan adalah menguatkuasakan pematuhan Akta 446 dan memastikan majikan melaksanakan ujian saringan Covid-19 kepada pekerja asing.

Ini, jelasnya dilaksanakan dalam usaha mencegah penularan wabak pandemik Covid-19 itu di tempat kerja dan penginapan mereka.

Katanya, operasi khas itu melibatkan 30 orang pegawai dan anggota terdiri dari JTKSM dan lain-lain agensi seperti Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan Majlis Perbandaran Seberang Prai (MPSP).

“Dalam perkembangan ini, Kementerian Sumber Manusia akan terus melaksanakan operasi penguatkuasaan pematuhan Akta 446 secara lebih agresif.

Ahli Parlimen Pendang itu menambah, ini bagi memastikan majikan dan penyedia penginapan berpusat mematuhi akta tersebut. – HARAKAHDAILY 29/1/2021

- Advertisement -