
KUALA LUMPUR: Pekerja di sektor pembuatan adalah yang paling ramai terjejas akibat kehilangan pekerjaan setelah ekonomi negara terkesan dengan penularan wabak pandemik Covid-19.
Tmbalan Menteri Sumber Manusia, Haji Awang Hashim berkata, salah satu faktornya adalah bilangan pekerja yang tinggi dalam sektor berkenaan.
“Manakala sektor perdagangan borong dan runcit serta sektor perkhidmatan profesional, saintifik dan teknikal juga terjejas teruk akibat pandemik Covid-19,” jelasnya dalam satu hantaran menerusi laman Facebook beliau, malam ini.
Menurutnya, banyak majikan dalam kedua-dua sektor berkenaan terpaksa mengurangkan tenaga kerja bagi menjimatkan kos dan mengekalkan operasi perniagaan.
Sehubungan itu, kata beliau PERKESO bersedia untuk membantu semua majikan dan pekerja yang terjejas menerusi program-program di bawah pakej rangsangan ekonomi yang diperkenalkan kerajaan seperti program subsidi upah, penjana kerjaya dan SIP Prihatin.
Beliau turut menjelaskan antara peranan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) dalam membendung penularan Covid-19 ialah berkerjasama dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa Dan Industri (MITI) dalam pembangunan prosedur operasi standard Peritah Kawalan Pergerakan (SOP PKP) bagi sektor pengilangan dan pembuatan yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Selain itu, katanya ia juga untuk membangunkan sistem pelaporan kendiri dalam talian berkenaan pematuhan SOP Pencegahan Covid-19.
Jelasnya, pihak industri perlu membuat pelaporan mingguan secara atas talian menerusi platform Covid-19 Information Management System 3.0 (CIMS 3.0) yang dikendalikan oleh MITI.
Selain itu, ujar beliau bagi membendung penularan pandemik Covid-19, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dikuatkuasakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui task force yang dianggotai oleh pelbagai agensi.
Katanya, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan dan Pekerjaan Malaysia (JKKP) dan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) merupakan dua agensi di bawah KSM, yang menganggotai task force tersebut dan telah diberi penurunan kuasa oleh KKM bagi menguatkuasakan Akta 342.
“Fokus utama penguatkuasaan JKKP adalah kepada sektor pengilangan, sesuai dengan pengalaman serta kepakaran JKKP dalam membuat penguatkuasaan keselamatan dan kesihatan pekerjaan di dalam sektor ini,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Pendang.
Beliau berkata, dalam aspek itu, antara tugas utama JKKP adalah untuk memastikan pematuhan majikan terhadap SOP PKP yang dikeluarkan oleh MKN. – HARAKAHDAILY 29/1/2021











