
HARI ini saya simpulkan. Di mana bermula. Di mana salah dan kelirunya dan siapa yang mengapikannya. Apa yang sepatutnya berlaku. Saya mulakan dengan kronologi isu.
Pendedahan kerosakan air terjun Tanjung Batu tetapi gambar lain. YB Exco minta siasat. Siasatan alur air rosak. JAS kesan 6 kesalahan dan arahkan operasi dihentikan kecuali operasi pemulihan. YB Exco dedahkan Air Terjun Tanjung Batu ok. Tempat lain telah diambil tindakan. NGO dakwa gambar tempat sama. Serangan kepada YB Exco bermula. NGO masih dakwa itu dari sungai yang sama. Dedahkan pencemaran Teluk Akuan. YB Exco dan rombongan buat siasatan dan jelaskan 3 tempat dan situasi berbeza.
Di mana bermula
Bermula dengan pendedahan mengenai kerosakan air terjun. Memang mengejutkan. Memang mengecewakan. Gambar ditularkan. Keindahannya seolah telah musnah. Ternyata di bawahnya ada kuari yang menguatkan dakwaan. Air terjun Tanjung Batu atau Teluk Sera terkenal serata pelosok alam telah musnah. Ia menimbulkan kemarahan pencinta alam dan rakyat umumnya.
Di mana silapnya
Sebenarnya Air Terjun tersebut tidak musnah. Ia kekal kerana terletak dalam kawasan hutan simpan. Gambar kemusnahan adalah alur bermusim yang mengalirkan air ketika musim hujan. Silapnya ‘pencinta alam’ menyangka alur itu adalah penghujung atau dari aliran sungai yang sama. Apabila gambar sebenar ditularkan, mereka mendakwa itu gambar di atas. Gambar kerosakan adalah di tingkat bawah. Pengarah JPS mengesahkan dengan peta dan altitud kawasan berbeza. Di situ silapnya.
Kelirunya berlaku antara sungai yang sama atau berbeza? Apabila diperjelaskan maka lahirlah beberapa penganut sikap berbeza;
Yang jujur dan sungguh berjuang mengakui fakta dan kesilapan. Yang angkuh dan takut hilang kepercayaan dan sokongan berdolak dalik membuat kesimpulan dan mengalih tumpuan. Yang sengaja mengambil kesempatan terus mengapikan permusuhan.
Apabila Exco Alam Sekitar membetulkan fakta dan menjelaskan kekeliruan, penganut mazhab angkuh dan mengambil kesempatan mula menyerang beliau. Fitnah bertebaran (saya kongsikan sebahagiannya sebelum ini). Serangan kepada PAS yang tak ada kaitan turut dijadikan sasaran.
Semua tahu bahawa PAS baru menyertai kerajaan hampir setahun. Memegang portfolio alam sekitar baru dua bulan. Apa yang boleh dilakukan? Meluluskan kuari atau hutan? Hanya si bodoh yang boleh dikelirukan.
Tanyalah zaman mana diluluskan? Zaman siapa beroperasi? Kepada Cybertrooper PH yang cuba menyelinap, suka saya memberi tugasan. Tanyalah kepada bekas ‘Exco Melayu’ anda, siapa yang dikesan bersama tauke kuari di tapak operasi pada hari Isnin sehari sebelum rombongan YB Akmal membuat tinjauan media pada 26 Januari. Jangan tanya saya apa tujuan. Saya juga tertanya-tanya apa kepentingan beliau yang sangat dikenali berada di tempat terasing sebegitu.
Sepatutnya berlaku
YB Akmal telah mengarahkan tindakan diambil terhadap kerosakan yang berlaku. Beliau juga membetulkan kesilapan fakta kononnya Air Terjun Tg Batu telah musnah. Ternyata tiada apa yang disembunyikan. Yang salah dibetulkan. Yang rosak diambil tindakan dan dibaiki. Yang diadu dibuat siasatan. Itulah yang sepatutnya berlaku.
Apa lagi yang dimahu? Terima kasih? Sudah diucapkan dan tindakan susulan telah dibuat malah janji untuk majukan permohonan digazetkan sebagai taman lindungan telah diikrarkan. Inilah yang kita mahu… Dan dimahukan oleh pencinta alam sebenar. Bukan pelakon yang mengambil kesempatan dari kejujuran perjuangan anak muda.
Saya sangat yakin anak muda ini telah berpuas hati. Mereka dialu-alukan malah saya difahamkan YB Exco merancang pertemuan dengan mereka yang benar-benar membawa idealisme anak muda pencinta alam sekitar. Bukan politikus yang cuba mengapikan suasana dan memburukkan keadaan.
Penutup
Terima kasih kepada beberapa laman Facebook yang menjadikan saya sebagai sasaran serangan. Fake akaun yang menyelongkar gambar-gambar saya. Ia satu kebanggaan walaupun dipost di Facebook yang sebahagiannya tiada pengunjung. Saya tetap menghargai.
Saya juga memohon maaf jika beberapa coretan saya ini sedikit menyinggung anak muda yang gigih dengan kebenaran. Jangan takut, jangan juga mudah dipergunakan. Kami bersama anda dan mahu anda bersama kami.
Kehijauan itu keindahan. Kehijauan itu kesukaan Rasul junjungan. Bersama kita perjuang dan pertahankan. Semoga isu ini berakhir dengan kefahaman.
FAIRUZ HAFIIZH OTHMAN
Setiausaha Politik
Pesuruhjaya PAS Perak – HARAKAHDAILY 29/1/2021











