Enam negeri rekod rizab air terawat bawah 15%

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) memaklumkan bahawa terdapat enam negeri yang merekodkan kadar rizab margin air terawat di bawah 15 peratus sehingga suku kedua tahun ini.

Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato’ Dr Ahmad Masrizal Muhammad berkata enam negeri tersebut ialah Johor dengan kadar rizab margin air terawatnya 11.3 peratus diikuti Sabah (8.3 peratus); Perlis (7.1 peratus); Selangor (1.5 peratus).

- Advertisement -

“Kita (KASA) mengharapkan dalam konteks Selangor, Loji Langat 2 yang belum siap sepenuhnya dijangka FASA 1 siap pada tahun 2023 menjangkakan kadar rizab margin air terawat meningkat 10 peratus.

“Kelantan (-0.2 peratus). Kementerian mengharapkan Loji Kg Teluk dengan kapasiti 30 JLH dijangka siap pada 2021 akan meningkat rizab margin kepada empat peratus.

“Keenam ialah Kedah (-2.3 peratus). Dalam hal ini Kementerian mengharapkan lima loji dalam proses melantik kontraktor dan apabila dijangka siap pada 2023, ia akan meningkatkan rizab margin kepada 21 peratus,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Dato’ Ahmad Nazlan Idris (PN-Jerantut) yang menanyakan berkaitan inisiatif kerajaan untuk mengatasi isu margin rizab air terawat negara yang kini berada pada tahap rendah dan apakah perancangan jangka panjang bagi menambah punca air.

Menurut Masrizal, KASA melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) yang bertindak sebagai badan kawalselia industri perkhidmatan air negara telah menetapkan KPI rizab margin yang perlu dipatuhi dan dicapai oleh operator air setiap negeri adalah sebanyak 10 hingga 15 peratus.

Bagaimanapun, katanya beberapa pendekatan telah dilaksanakan untuk meningkatkan kadar rizab air terawat bagi enam negeri itu.

“Antaranya pembinaan loji rawatan air baru dan menaiktaraf loji rawatan air sedia ada supaya kapasiti pengeluaran loji rawatan air dapat dipertingkatkan.

“Kita juga melaksanakan program kadar air tidak berhasil (NRW) dengan melibatkan kerja-kerja penggantian paip yang usang dan pembaikan tangki-tangki perkhidmatan yang rosak serta bocor.

“Pelaksanaan pengurusan permintaan air dibuat bagi mengurangkan permintaan bekalan air melalui pelbagai kaedah seperti penggunaan mandatori produk cekap air, penerokaan sumber air alternatif, audit kecekapan penggunaan air dan penggunaan sumber air yang lebih berkesan di semua sektor ekonomi seperti domestik, industri serta pertanian,” jelasnya.

Tambah beliau lagi, sejajar faktor perubahan iklim, kerajaan telah menetapkan dasar baharu penerokaan sumber air menerusi pembinaan kolam takungan di kawasan hilir sungai melalui kaedah Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS), pembinaan ampang jajar dan pembinaan perigi takungan melintang. – HARAKAHDAILY 9/12/2020

- Advertisement -