
KANGAR: Kerajaan Perlis berusaha mengatur semula strategi dan langkah pembangunan sosio ekonomi bersesuaian situasi semasa.
Menteri Besar Perlis, Dato’ Seri Azlan Man berkata, antara langkah yang diambil kerajaan negeri untuk mengurangkan impak pandemik Covid-19 termasuk pemberian diskaun atas sewaan gerai.
Selain itu, penangguhan pembayaran (moratorium) sewa-beli rumah Rancangan Perumahan Awam (RPA) melibatkan 305 keluarga selama 6 bulan.
“Insentif lain pengecualian sewaan gerai Bahagian Perumahan (BP) dan Bahagian Pentadbiran Daerah (BPD) selama enam bulan, pengecualian sewaan kepada 778 penyewa rumah PPR.
“Dan 142 penyewa di Rancangan Perumahan Kuala Perlis selama enam bulan dan pemberian diskaun atas sewaan gerai di bawah MAIPs selama tiga bulan,” katanya ketika membentang Belanjawan Perlis 2021 pada persidangan DUN, semalam.
Menurutnya juga, penyediaan Bajet 2021 amat mencabar di samping berusaha untuk mencapai tujuan utama memastikan kesinambungan pemulihan ekonomi negeri dan keperluan mencapai Wawasan Perlis Negeri Bandaraya 2030.
Kata beliau dalam masa yang sama, kerajaan negeri tidak boleh mengabaikan keperluan, kebajikan dan kemaslahatan rakyat yang menuntut pembangunan yang bersifat jangka panjang.
“Ia harus diseimbangkan dengan keperluan menjaga kebajikan semasa rakyat.
Rakyat tidak boleh dibiar berada dalam situasi kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.
“Justeru keseimbangan dalam memenuhi kedua-dua tuntutan inilah yang menjadikan penyediaan Bajet 2021 bagitu mencabar,” katanya.
Belanjawan Perlis 2021 memperuntukkan kira-kira RM309.51 juta di mana pembangunan sebanyak RM133.82 juta dan perbelanjaan mengurus RM175.69 juta. – HARAKAHDAILY 9/12/2020











