Pengambilalihan FGV langkah proaktif kerajaan PN

Ir. Ts. Khairil Nizam Khirudin
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pengambilalihan semula FGV Holding Berhad oleh Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) adalah langkah proaktif Kerajaan Persekutuan.

Ketua Pemuda Perikatan Nasioanal (PN), Ir Ts Khairil Nizam Khirudin merakamkan ucapan tahniah dan berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan di atas usaha tersebut.

- Advertisement -

Katanya, FELDA telah memeterai perjanjian belian saham bersyarat bersama Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) membabitkan sejumlah 222.48 juta saham FGV mewakili 6.1 peratus pada harga RM289.2 juta atau RM1.30 sesaham.

Dalam masa yang sama, katanya FELDA turut memeterai perjanjian pembelian saham dengan Urusharta Jamaah Sdn Bhd membabitkan pembelian sebanyak 283.71 juta saham FGV yang mewakili 7.78 peratus kepentingan ekuiti pada harga RM368.8 juta atau RM1.30 sesaham.

“Ikhtiar ini menjadikan FELDA berserta pihak yang berkepentingan sama (PAC) akan secara kolektif memegang lebih daripada 50 peratus saham-saham FGV sekali gus memperolehi kawalan statutori ke atas FGV.

“Ia bagi meneruskan pelan transformasi dan penstrukturan semula syarikat-syarikat berkaitannya untuk memperkukuhkan perniagaan teras dalam sektor perladangan.

“Ini juga memangkin usaha FELDA untuk mengambil semula tanah yang dipajakkan kepada FGV melalui Perjanjian Pajakan Tanah (LLA), pengambilan semula kilang-kilang pemprosesan sawit oleh FELDA serta meneliti semula perjanjian yang ada,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Khairil, Pemuda PN percaya pengambilalihan ini akan meningkatkan keupayaan FELDA untuk menguasai tanah ladang dan penyepaduan rantaian nilai FGV.

Dalam masa yang sama, katanya ia membolehkan FELDA menyediakan ruang terbuka buat generasi baharu peneroka menyertai pasaran perniagaan agro berasaskan ladang serta hiliran seperti penjualan baja dan racun.

“Pemuda PN yakin usaha ini adalah komitmen Kerajaan Persekutuan yang tuntas melaksanakan pemulihan FELDA termasuk menstruktur semula pengurusan FELDA,” katanya.

Sementara itu, katanya Pemuda PN menyambut baik pengumuman kerajaan dalam pembentangan Belanjawan 2021 memperuntukkan RM400 juta untuk membantu peneroka FELDA bagi tujuan menghapuskan faedah hutang peneroka selain menyediakan program pembangunan peneroka bagi menerokai hasil baharu.

“Syabas buat YAB Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kepimpinan Kerajaan Persekutuan. Insya-Allah, PN akan terus membela kebajikan dan masa depan peneroka serta menggarapsinergi ke arah kelestarian FELDA,” jelasnya. – HARAKAHDAILY 9/12/2020

- Advertisement -