
KUALA LUMPUR: Penggunaan meter pintar bertujuan untuk memastikan pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) memberikan perkhidmatan yang cekap kepada pengguna dan rakyat dalam usaha untuk meningkatkan sistem penyampaian kerajaan kepada rakyat.
Menurut Kementerian Tenaga dan Sumber Asli antara faedah penggunaan meter pintar adalah bagi membantu pengguna mengawal penggunaan elektrik melalui pemantauan jumlah bil elektrik semasa secara harian, mingguan dan bulanan.
Dalam masa yang sama, katanya pengguna dapat mengawal perbelanjaan bil elektrik mereka.
Selain itu, katanya membolehkan proses pemulihan dilaksanakan dengan lebih cepat kerana meter pintar akan menghantar notifikasi secara automatik kepada pihak TNB sekiranya terdapat gangguan bekalan elektrik di premis pengguna.
“Pengguna mendapat bacaan bil elektrik tanpa memerlukan kehadiran pembaca meter di premis pengguna. Dalam hal ini pengguna sentiasa mendapat bacaan bil elektrik sebenar.
“Tiada lagi isu bil anggaran sekiranya pembaca meter tidak dapat merekodkan bacaan meter di premis pengguna,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
Kementerian Tenaga dan Sumber Asli berkata demikian bagi menjawab Ahmad Fadhli Shaari [PAS-Pasir Mas] yang bertanya mengenai faedah penggantian meter biasa kepada meter pintar (Smart Meter) kepada rakyat.
Katanya, pembangunan dan pelaksanaan meter pintar juga akan dapat membendung kegiatan negatif seperti kes usikan pepasangan meter.
“Ia memandangkan segala gangguan atau usikan ke atas meter pintar dapat dikesan secara automatik melalui fungsi meter pintar yang telah dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan dan pengesanan yang berkesan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 8/12/2020











