
KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang mempertimbang dan memperhalusi cadangan bagi penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkenaan Tabung Haji (TH) bagi menamatkan polemik yang membelenggu institusi itu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dato’ Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata pertimbangan ini meliputi aspek perundangan dan kaedah pelaksanaan agar penubuhannya mencapai matlamat seperti yang diharapkan.
“Ingin saya tegaskan bahawa segala yang dilakukan oleh kerajaan adalah dengan niat suci, untuk mencari titik penyelesaian yang boleh diterima semua pihak, serta paling penting, untuk memastikan segala urustadbir TH menepati kepentingannya sebagai institusi milik umat Islam di negara ini.
“Saya mohon Ahli-Ahli Yang Berhormat dapat memberikan sepenuh kepercayaan kepada kerajaan untuk memelihara kesucian institusi umat Islam ini,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Zulkifli berkata demikian bagi menjawab Dato’ Sri Abdul Azeez Abdul Rahim [BN-Baling] yang menanyakan tentang langkah yang telah diambil oleh kerajaan bagi mewujudkan suruhanjaya siasatan berkenaan.
Jelasnya, kerajaan amat memahami bahawa perlunya suatu badan yang bebas dan berautoriti dalam meneliti dan menilai segala transaksi yang dilakukan oleh TH.
Justeru, katanya cadangan bagi penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja ini telah dibincangkan oleh Mesyuarat Jemaah Menteri pada 18 Ogos lalu.
Dalam pada itu, menjawab soalan tambahan Abdul Azeez mengenai sama ada TH Plantations Bhd (THP) telah menjual ladang kelapa sawit di Bintulu dan Sibu, Sarawak pada nilai yang lebih rendah, Zulkifli berkata setakat ini, THP belum lagi membuat sebarang pengumuman awam berkenaan transaksi berkenaan. – HARAKAHDAILY 8/12/2020











