
KANGAR: Biarpun berlaku pergolakan politik di Perak namun PAS tetap dengan pendirian terus bersama dengan Perikatan Nasional (PN) dan memperkukuh Muafakat Nasional (MN).
Mursyidul Am PAS, Dato’ Tuan Guru Hashim Jasin berkata, PAS sebuah parti yang memegang kepada janji dan terus memelihara hubungan yang dibina sama ada bersama PN atau MN.
Katanya PAS mempertahankan hubungan dengan kedua-dua blok tersebut kerana ia jalan yang terbaik untuk PAS meneruskan perjalanan politik di pentas demokrasi di negara ini.
“Perpaduan umat Islam perlu diperkukuhkan melalui gabungan ketiga-tiga parti iaitu PAS, Umno dan Bersatu.
“Saya penuh yakin pimpinan utama PAS mampu untuk mengatasi masalah yang berlaku sekarang dengan baik dan bijak,” katanya ketika ditemui di Kompleks PAS Perlis di sini, hari ini.
Perkembangan politik di Perak agak panas apabila usul percaya kepada bekas Menteri Besar Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu tidak mendapat sokongan majoriti sehingga beliau dan anggota Exco terpaksa meletak jawatan.
Bagaimanapun kerajaan PN di Perak masih lagi memiliki majoriti dengan kelebihan 33 kerusi berbanding pembangkang – 24 kerusi.
Usul percaya dibentang Adun Barisan Nasional Pengkalan Baharu Dato’ Abdul Manaf Hashim pada persidangan Dun Perak Jumaat lepas, sebelum sempat Belanjawan 2021 Perak dibentang menteri besar.
Ketika usul terbabit dibentang 10 Adun menyokong usul terbabit tiga Adun PAS. Sebaliknya 49 lagi Adun menolak dan seorang berkecuali.
Dewan Undangan Negeri Perak mempunyai 59 Adun. Persidangan Dun dijangka disambung Rabu ini selepas pelantikan menteri besar baru selesai. – HARAKAHDAILY 7/12/2020




















