
KAEDAH fiqh yang menjadi panduan dalam kita memutuskan sesuatu urusan pemerintahan. Asasnya ialah maslahah kepada rakyat dalam ruang lingkup yang diizinkan syarak.
Contohnya bila berlaku konflik antara haiwan dan manusia. Maslahah yang mana perlu diutamakan? Haiwan atau manusia? Tentunya keutamaan pemerintah ialah rakyat yang bernama manusia.
Saya Pengerusi Tabung Amanah Hidupan Liar Negeri Terengganu. Tujuan tabung ini diwujudkan khusus untuk menyalurkan peruntukan bagi menangani isu ancaman hidupan liar terhadap sektor pertanian dan perladangan negeri.
Ancaman dan gangguan gajah, kera, khinzir dan tupai adalah antara yang selalu diadukan kepada kami. Gangguan serta ancaman ini akan menyebabkan kerosakan, kehilangan atau kekurangan kepada penghasilan sektor perladangan dan pertanian negeri seterusnya mengganggu keupayaan jaminan bekalan makanan untuk rakyat.
Memang Allah jadikan fitrah kera makan buah, tupai tebuk buah, babi sodok ubi dan gajah makan umbuk nyior atau kelapa sawit dan sebagainya. Hal ini kita sedia maklum. Kerana meraikan fitrah haiwan, apakah kita perlu biarkan saja? Dah rezeki sesama makhluk Allah, orang yang tanam pun dapat pahala!
Di sinilah kita perlu balik semula kepada kaedah fiqh tadi. Maslahah haiwan atau maslahah rakyat perlu diutamakan pemerintah? Tambahan pula ancaman ini serius. Setakat makan sebutir dua itu biasa. Marilah duduk di tempat saya dan bersama merasai jerit perih petani yang mengadu permasalahan mereka dengan linangan air mata.
Maka kita berusaha dengan pelbagai solusi. Pagar elektrik, lampu LED, letak patung, pasang perangkap, tembak halau, tangkap pindah dan akhirnya terpaksa tembak bunuh. Ianya bukan kebanggaan untuk berlawan dengan makhluk Allah yang lemah. Tetapi sebagai pemerintah, kita perlu melaksanakan tanggungjawab. Ilmu tasawuf perlu seiring dengan ilmu fiqh.
YB DR AZMAN IBRAHIM
Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Negeri Terengganu – HARAKAHDAILY 24/8/2020











