‘PAS for All’ perlu diperkasa semula – Mohd Amar

- Advertisement -

KOTA BHARU: Naib Presiden PAS, Dato’ Sri Amar D’Raja Mohd Amar Abdullah menyarankan agar agenda ‘PAS for All’ diperkasakan semula sebagai usaha memperkukuh keharmonian kaum dan memperluas sokongan rakyat terhadap perjuangan parti.

- Advertisement -

Katanya, kekuatan PAS dalam aspek perpaduan kaum masih kurang diketahui masyarakat luar dan perlu diperjelas menerusi pendekatan yang lebih menyeluruh.

“Saya menyarankan agar agenda ‘PAS for All’ yang diperkenalkan sebelum ini perlu diperkasakan semula dalam pelaksanaannya,” tegas Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan itu.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Dewan Muslimat PAS Kawasan Kota Bharu Kali Ke-37 di Dewan Jubli Perak, Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI), di sini.

Katanya, PAS juga perlu lebih agresif dalam menyantuni masyarakat Cina serta dilihat benar-benar bersungguh membela nasib mereka.

Menurut beliau, kelemahan dalam aspek ini mungkin menjadi antara faktor kekalahan PAS di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Lama pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

Mengulas lanjut, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panchor itu turut menjangkakan kemungkinan PRU16 diadakan pada tahun hadapan berdasarkan perkembangan semasa politik negara.

“Dalam situasi dan iklim politik yang tidak stabil hari ini mendorong PMX (Perdana Menteri) untuk mengadakan PRU pada tahun depan yang telah memasuki penggal ketiga,” ujarnya.

Menurutnya, gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) dilihat semakin kukuh dan boleh mendorong pembubaran Parlimen sama ada pada awal, pertengahan atau akhir tahun depan.

“Sebelum ini saya pernah meramalkan kejatuhan Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya bertahan selama 15 tahun dalam kerajaan dan dipecat, ternyata ia menjadi kenyataan pada tahun ke-16 beliau bersama Umno,” katanya lagi.

Turut hadir dalam majlis perasmian itu ialah Yang Dipertua PAS Kawasan Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan serta Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan, Rohani Ibrahim.

Dalam ucapannya, Takiyuddin menegaskan bahawa PAS tidak pernah ketinggalan dalam menyertai pilihan raya umum sejak tahun 1955.

“PAS tidak pernah ketinggalan mengambil bahagian dalam PRU, sama ada bertanding secara solo mahupun dalam gabungan antara parti politik,” katanya.

Tambah beliau, PAS kini bersedia menghadapi PRU16 yang dijangka memperlihatkan pertembungan dua penjuru.

Untuk rekod, PRU15 menyaksikan PAS muncul sebagai parti tunggal terbesar apabila memenangi 43 kerusi Parlimen pada tahun 2022. – HARAKAHDAILY 5/5/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -