Melayu diingat agar tidak tertipu muslihat DAP

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Orang Melayu-Islam diingatkan agar tidak tertipu dengan muslihat politik DAP yang hanya mahu memancing kaum ini untuk menjadi alat kepada parti Cauvinis itu.

ADUN Jengka, Ustaz Shahril Azman Abd Halim al-Hafiz memetik pendedahan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli mengenai rancangan DAP mahu menghancurkan kesatuan Melayu dan menguasai negara ini.

Dalam rakaman audio tersebut, Rafizi menyatakan bahawa kerjasama politik dibuat DAP bertujuan merosakkan pemimpin-pemimpin Melayu, namun atas hubungan itu hingga dapat menjadi parti besar.

Jelas Rafizi, perkara tersebut membolehkan DAP mendapat sokongan Melayu, namun setelah itu parti tersebut membuat masalah dengan rakan kerjasamanya dan memaki pemimpin Melayu serta meninggalkan mereka.

Katanya, DAP turut melakukan perkara sama dengan PKR di mana jelas menunjukkan bahawa parti itu hanya berminat menunggang orang Melayu dan bukannya ikhlas dalam kerjasama dijalinkan.

Menurut beliau yang terkenal dengan formula-formula, DAP lebih menyukai MCA kerana dianggap tidak menikam belakang, sebaliknya dengan orang Melayu akan dibuang selepas dipergunakan.

Malah kesali Rafizi, DAP juga pernah ‘meludah’ Presiden PKR, Dato’ Seri Anwar Ibrahim semasa menyokong Tun Dr Mahathir Mohamad dahulu di mana itu bertujuan untuk mendapat undi orang Melayu sahaja.

Menurut Ustaz Shahril, walaupun DAP menyatakan partinya berbagai-bagai kaum, namun perkara itu tidak boleh menghapus tabii mereka yang cintakan kaum masing-masing. 

“Sehinggakan, mereka menunjukkan sikap melampau menentang syariat Islam yang menjadi hak penganut Islam dalam Perlembagaan Persekutuan.

“DAP menggalakkan penggunaan Bahasa Cina di tempat yang wajib menggunakan Bahasa Kebangsaan mengikut lunas Perlembagaan.

“Mereka mencabar hak istimewa kaum Bumiputera dalam Perlembagaan dan lain-lain,” bidas beliau selaku juga Yang Dipertua PAS Kawasan Kuala Krau.

Katanya, DAP mendedahkan strategi politik terbuka mereka yang mahu menguasai negara dengan memancing Melayu menjadi alat sementara waktu dengan pelbagai jawatan yang ditawar atau dikompromikan. 

Iaitu terangnya, sebagai Perdana Menteri, Menteri-menteri Kabinet, Menteri Besar dan Ahli Majlis Kerajaan Negeri, Datuk Bandar dan lain-lain bagi memancing kuasa untuk sementara waktu hingga menyebabkan ramai orang Melayu memakan pancing tersebut.

“PRN enam negeri nanti (pastikan) tolak PH-BN. Sebab satu undi untuk Umno-BN (adalah) satu undi untuk DAP. Satu undi untuk PAN (adalah) satu undi untuk DAP. Satu undi untuk PKR satu undi untuk DAP.

“Undilah PAS dan Perikatan Nasional, insya-Allah DAP semakin lemah dan PH-BN akan tumbang,” seru beliau.

Setiausaha PAS Negeri Pulau Pinang, Iszuree Ibrahim juga memberikan peringatan sama terutama terhadap Umno yang kini menjalin hubungan mesra dengan DAP agar mewaspadai parti tersebut.

“PAS dah lalui zaman Pakatan Rakyat (PR) dan tahu sangat putar belit DAP. Apa dia yang DAP nak dari PAS masa itu hanya nak undi Melayu. Lepas PRU13 ahli PAS tersentak dan sedar tipu daya DAP. 

“Saya sebahagian dalam kerajaan ketika 2008-2015. Melayu yang terpedaya dengan lakonan Lim Guan Eng-DAP terus keluar parti dan tubuh parti oren.

“Hasil dari DAP berjaya pecahkan PAS melalui beberapa individu tertentu, mereka putuskan hubungan dan keluar PR. BERSATU pula berkawan 22 bulan dalam PH.

“Rakan-rakan dari BERSATU nampak kelaku DAP yang biadab kepada Islam, berpecah dan terus keluar PH. Parti Ultras Melayu kini mangsa seterusnya. PH hanya perlu 10 peratus undi Melayu,” ujarnya memberi nasihat.

Katanya, ternyata tipu daya PH-DAP berjaya mendapat 11 peratus undi Melayu dalam PRU15 lalu dan ditambah pula BN bertaut pada PH-DAP untuk kelangsungan hidup di mana itulah kebetulan yang diharapkan DAP-PH.

“Soalannya mampukah lagi mereka mendapat sokongan Melayu? Namun BN kali ini bukan lagi dominan. Mampukah bertahan lama bersama DAP dengan umpan 3-5 kerusi DUN sahaja untuk bertanding di Pulau Pinang.

“Gelombang hijau beralun-alun, alunnya tinggi di Pulau Jerjak. Marah orang Melayu jangan sampai dibalun, nanti dibalun hingga hilang tiada dapat dijejak.

“Sebagai rakan-rakan yang pernah kita bersama, adalah lebih elok Umno duduk dengan PAS dan Muafakat Nasional serta Perikatan Nasional demi persaudaraan Islam,” seru beliau. – HARAKAHDAILY 5/5/2023

- Advertisement -
- Advertisement -