Jamin ketelusan perbelanjaan, perjanjian perolehan vaksin

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin hari ini memberi jaminan bahawa segala perbelanjaan dan perjanjian yang dilaksanakan dalam perolehan vaksin dan pelaksanaan PICK akan terus dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC). 

Khairy, yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) berkata perkara ini adalah untuk menjamin ketelusan dan keterbukaan program tersebut kerana pelaksanaan PICK melibatkan satu peruntukan perbelanjaan yang besar kepada negara.

- Advertisement -

“Sudah pastinya, jumlah peruntukan sebanyak RM5.8 bilion ini menimbulkan persoalan tentang bagaimana wang ini telah dan akan dibelanjakan,” kata beliau dalam sesi penerangan mengenai program vaksinasi negara di Dewan Rakyat hari ini. 

Khairy berkata PAC telah mengadakan prosiding sebanyak dua kali iaitu pada 5 Januari dan sekali lagi pada Isnin.

“Dalam prosiding PAC ini, dokumen perjanjian perolehan vaksin serta butiran perbelanjaan bagi PICK telah pun dibentangkan.

“Selain daripada PAC, pada Jumaat lepas juga, MOSTI yang diwakili oleh Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian telah memberikan keterangan di dalam prosiding Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan, Sains dan Inovasi,” tambahnya. 

Bagi memastikan ketelusan dan keterbukaan PICK, satu taklimat kepada semua Ahli Parlimen juga telah diadakan pada 22 Mac lepas di Putrajaya, katanya. – BERNAMA

- Advertisement -