Iktibar agung surah al-Isra’

- Advertisement -

MUQADDIMAH

Surah Al-Isra’ merupakan surah yang ke tujuh belas dan berada di dalam juzuk ke lima belas. Nama lain bagi surah ini ialah surah Bani Israel. Ia mengandungi 111 ayat. Permulaan surah ini menceritakan mengenai suatu peristiwa besar dalam kehidupan Nabi Muhammad S.A.W, iaitu peristiwa Israk dan Mikraj. Nabi S.A.W diperjalankan pada waktu malam daripada Makkah ke Baitul Maqdis (Israk) dan daripada Baitul Maqdis diangkat naik ke langit menghadap Allah S.W.T (Mikraj), bertemu dengan roh Nabi-nabi dan kemudian menerima perintah solat lima waktu.

Israk bermakna berjalan malam manakala Mikraj bermakna naik ke langit. Peristiwa ini sentiasa disambut oleh umat Islam dengan diadakan bacaan kitab, ceramah, forum dan sebagainya. Ia merupakan peristiwa yang sangat penting dalam sejarah Islam. Hal ini kerana pada malam tersebut, Nabi S.A.W menerima perintah solat secara terus daripada Allah S.W.T. Sebelum dan selepas daripada peristiwa ini, segala perintah Allah disampaikan kepada Nabi melalui perantaraan iaitu melalui malaikat Jibril A.S.

Menurut ulamak, terdapat dua peristiwa sedih yang menimpa Nabi S.A.W. Peristiwa yang pertama ialah kewafatan isterinya, Khadijah R.A yang merupakan isteri pertama yang banyak berkorban menghabiskan harta bendanya untuk membantu dakwah Baginda S.A.W dan sehingga dia meninggal dunia, dia tidak meninggalkan hartanya kepada Rasulullah S.A.W. Nabi S.A.W banyak bergantung dan mengadu hal kepada Sayyidatina Khadijah R.A sehingga isterinya menjadi penasihat peribadi kepadanya.

Selepas kewafatan Khadijah R.A, meninggal pula bapa saudaranya, iaitu Abu Talib yang meninggal dalam keadaan tidak beriman. Walaupun begitu, dia ialah orang yang membela dan mempertahankan Nabi S.A.W. Apabila orang Quraisy ingin mengkhianati Baginda, dia mempertahankan Nabi S.A.W sehingga orang ramai berasa segan dengannya. Walaupun dia orang miskin, dia tetap dihormati dalam kalangan masyarakat Quraisy. Khadijah menjadi tempat sandaran Rasulullah S.A.W secara rohani manakala Abu Talib secara fizikal. Tahun tersebut merupakan tahun dukacita Baginda S.A.W.

Oleh sebab itu, Allah S.W.T mentakdirkan Nabi S.A.W dibawa ke langit untuk mengubati kesedihan yang dihadapi olehnya. Selain itu, ia menunjukkan betapa pentingnya kedudukan solat yang merupakan salah satu rukun Islam. Nabi Musa A.S memberitahu Nabi Muhammad S.A.W mengenai kesusahan umatnya untuk menunaikan solat sebanyak 50 waktu. Lalu, Nabi Musa meminta Rasulullah S.A.W bertemu dengan Allah dan meminta supaya dikurangkan waktu solat. Berlaku pengurangan sebanyak 5 waktu berturut-turut dan akhirnya tinggallah 5 waktu. Nabi Musa A.S meminta Rasulullah S.A.W naik bertemu lagi dengan Allah S.W.T tetapi Nabi Muhammad S.A.W berasa malu. Menurut ulamak, solat menjadi keutamaan dalam kehidupan orang Islam.

Terdapat hadis yang menjelaskan mengenai perbezaan antara orang beriman dengan tidak beriman adalah solat. Sesiapa yang meninggalkan solat sama ada secara sengaja atau tidak atau secara ingkar atau tidak, dia telah terkeluar daripada Islam. Menurut Imam Ahmad bin Hanbal, sesiapa yang tidak mengerjakan solat, dia menjadi kufur. Namun menurut Imam Syafi’e, tidak jatuh kufur kecuali dia tidak mengerjakan solat dan mempersoalkan kewajipan solat.

Ketika Rasulullah S.A.W wafat, perkara yang keluar daripada mulut Baginda S.A.W ialah “ummati.. ummati.. assolah.. assolah.. ”, Baginda berpesan supaya solat dijaga. Walau susah macam mana sekalipun, solat jangan ditinggalkan. Islam mengajarkan kepada kita sekiranya tidak mampu berdiri, boleh duduk atau tidak mampu duduk, boleh bersila di atas lantai atau tidak mampu bersila, boleh berbaring atau menggunakan isyarat mata.

Pada hari ini, kita melihat antara masalah besar umat Islam adalah tidak cakna akan solat. Ada yang hanya mengerjakan solat pada hari Jumaat, sampai di masjid lebih awal daripada bilal tetapi tidak peduli pula akan solat fardhu 5 waktu. Ada yang solat di hujung-hujung waktu misalnya waktu asar jam 4:30 petang, solat zohor jam 4:00 petang. Hal ini yang perlu kita perbaiki kecuali jika ada masyaqqah. Kalau boleh, solatlah di awal waktu.

Sahabat pernah bertanya kepada Nabi S.A.W, apakah amalan yang lebih baik? Nabi S.A.W menjawab, solat pada waktunya. Sekiranya kita solat dalam waktu, ia tidak menjadi afdhal walaupun kita memperoleh pahala. Yang menjadi afdhal adalah apabila solat di awal waktu.

Mengenai peristiwa Israk Mikraj, para ulamak membincangkan mengenai bagaimana cara Nabi S.A.W berjalan dan naik ke langit. Ada pandangan yang mengatakan Nabi S.A.W naik secara roh melalui mimpi. Hal ini kerana terdapat riwayat yang mengatakan Nabi S.A.W tertidur selepas solat Isyak. Dalam tidur itulah Allah S.W.T bawa Baginda S.A.W berjalan malam dan naik ke langit.

Adapun pandangan lain yang masyhur ialah Nabi S.A.W pergi secara roh bersama dengan jasad sekali, bukan di dalam mimpi. Ini kerana Allah S.W.T menggunakan perkataan ‘hamba’ di dalam ayat ini yang merangkumi tubuh dan roh. Kita tidak mampu bergerak secara sedemikian kerana kita terikat dengan masa dan ruang. Oleh sebab itu, pergerakan kita menjadi lambat. Jadi, ketika Nabi S.A.W naik ke langit, Allah S.W.T melepaskannya daripada terikat dengan masa dan ruang. Pergerakannya menjadi laju sehingga Baginda S.A.W dapat pergi selepas waktu Isyak dan pulang sebelum waktu Subuh. Sedangkan dalam keadaan biasa, orang yang daripada Makkah pergi ke Baitul Maqdis mengambil masa selama satu bulan perjalanan.

Kisahnya menjadi bahan lawak orang Makkah. Selepas Nabi S.A.W pulang, Baginda naik ke bukit Safa dan memanggil seluruh orang Arab dan kaum keluarganya. Baginda S.A.W bertanya adakah mereka akan percaya sekiranya Baginda memberitahu bahawa akan ada musuh yang bersiap sedia untuk menyerang Kaabah. Mereka mempercayainya kerana mengetahui Rasulullah S.A.W tidak pernah berbohong. Lalu, Nabi S.A.W menceritakan azab yang sangat pedih dan berdakwah kepada mereka.

Mereka berasa marah dan sehinggakan Abu Lahab bangun berdiri lalu menyumpah dan berkata celaka terhadap Nabi S.A.W. Oleh itu, Allah membalasnya dengan sumpahan balas melalui Surah Al-Masad. Sumpahan dibolehkan tetapi biar kena pada tempatnya. Bahkan membunuh juga diharuskan di dalam peperangan bertujuan untuk mempertahankan diri dan keluarga.

Allah S.W.T juga menyumpah orang alim ibarat anjing. Dia boleh terbang di udara. Dia hebat tetapi menyalahgunakan ilmunya, melanggar perintah agama dan mengejar dunia. Itulah perbandingan yang Allah S.W.T gunakan bagi orang yang menyalahgunakan ilmu untuk kepentingan dunia.

Sebahagian orang Arab menolak peristiwa Israk dan Mikraj dan sebahagiannya murtad. Memang tidak dinafikan bahawa peristiwa itu sukar dipercayai dek akal. Ada yang bertanya tentang bagaimana rupa bentuk Masjidil Aqsa dan berapa banyak tiangnya. Nabi S.A.W boleh menjawab soalan-soalan tersebut kerana Jibril A.S datang membantu Baginda dan menayangkan gambar di mana hanya Baginda yang boleh melihatnya. Soalan mengenai tiang ialah soalan cepumas. Kita datang ke masjid pun tidak mengira tiang ada berapa banyak, hanya datang solat. Namun, orang Arab tetap tidak mempercayainya.

Apabila berita tersebut tersebar, ada seorang pemimpin Arab datang bertemu dengan Sayyidina Abu Bakar R.A. Adapun Abu Bakar tiada di tempat berkumpul itu. Pemimpin tersebut bertanya adakah Abu Bakar akan mempercayai sekiranya ada yang bertemu dengannya dan bercerita sepertimana perjalanan Rasulullah S.A.W. Abu Bakar awalnya tidak mempercayainya kerana ia tidak munasabah dan tidak masuk akal. Lalu, pemimpin itu mengambil peluang dan memberitahu orang itu ialah Sahabatnya, Muhammad. Abu Bakar kemudian mempercayainya jika orang itu Nabi Muhammad S.A.W kerana sebelum ini terdapat perkara-perkara yang pelik lagi yang diceritakan oleh Rasulullah S.A.W seperti Tuhan, syurga, neraka, malaikat dan hari akhirat.

Tiada perkara yang mustahil melainkan zat Allah S.W.T. Oleh itu, peristiwa Israk dan Mikraj adalah tidak mustahil kerana ia terjadi dengan kuasa dan kehendak Allah S.W.T. KuasaNya terletak antara huruf ‘kaf’ dan ‘nun’ sahaja. Api yang panas membara tidak menghanguskan Nabi Ibrahim A.S, pisau yang tajam tidak melukakan Nabi Ismail A.S dan laut yang luas dan dalam tidak menenggelamkan Nabi Musa A.S.

Abu Bakar R.A memahami agama dan mengetahui bahawa Rasulullah S.A.W ialah orang yang terpilih daripada asal keturunan lagi, bukan pilih dari kedai kopi atau wakaf. Rasulullah terpilih daripada bapanya, Abdullah dan ibunya, Aminah di mana mereka daripada keturunan yang baik. Juga daripada Bani Hasyim yang merupakan kabilah yang mulia dan sangat dihormati. Jadi, Baginda S.A.W bukan orang yang biasa. Oleh sebab itu, Abu Bakar R.A digelar sebagai As-Siddiq kerana membenarkan.

Surah ini disebut juga sebagai surah Bani Israel. Surah ini banyak menceritakan mengenai Bani Israel misalnya dalam ayat kedua. Di dalam Al-Quran, hampir setiap surah menceritakan tentang Bani Israel kerana menurut ulamak untuk menunjukkan perangai mereka yang pelik daripada yang lain. Tiada bangsa yang jahat dalam sejarah di mana sanggup membunuh Nabi, bukan sahaja menolak dan tidak mempercayai ajaran Nabi kecuali Bani Israel. Kisahnya diulang-ulang di dalam Al-Quran supaya menjadi iktibar kepada kita semua dan tidak diulangi lagi.

Dialog Nabi Muhammad S.A.W dengan Allah S.W.T

- Advertisement -

سُبۡحَـٰنَ ٱلَّذِیۤ أَسۡرَىٰ بِعَبۡدِهِۦ لَیۡلࣰا مِّنَ ٱلۡمَسۡجِدِ ٱلۡحَرَامِ إِلَى ٱلۡمَسۡجِدِ ٱلۡأَقۡصَا ٱلَّذِی بَـٰرَكۡنَا حَوۡلَهُۥ لِنُرِیَهُۥ مِنۡ ءَایَـٰتِنَاۤۚ إِنَّهُۥ هُوَ ٱلسَّمِیعُ ٱلۡبَصِیرُ﴿ ١ ﴾

“Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidil Haram (di Makkah) ke Masjidil Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”

(Al-Isra’: 1)

Ayat ini menjelaskan mengenai peristiwa Israk dan Mikraj di mana Nabi Muhammad S.A.W berjalan malam dan naik ke langit secara roh dan jasad. Cara Nabi S.A.W bertemu menghadap Allah S.W.T dikisahkan melalui pertanyaan Sayyidatina ‘Aisyah R.A kepada Baginda. Baginda S.A.W memberitahu bahawa dia tidak melihat Allah S.W.T. Dia berdialog dengan Allah melalui tabir yang diperbuat daripada cahaya. Manusia ketika hidup tidak boleh melihat Allah S.W.T kecuali di akhirat apabila direzekikan masuk ke dalam syurga. Semoga Allah S.W.T mengampunkan dosa-dosa kita. Waktu tersebut kita dapat melihat Allah umpama melihat bulan purnama.

Keberkatan Masjidil Aqsa

Masjidil Aqsa dipenuhi sekelilingnya dengan keberkatan. Buminya subur dan ia termasuk dalam masjid yang dituntut untuk diziarahi selain daripada Masjidil Haram di Mekah dan Masjid Nabawi di Madinah. Sekiranya kita tidak tahu cara nak belanjakan duit yang banyak, pergilah menziarahi ketiga-tiga masjid tersebut.

Bergantung kepada Allah, ikhtiar jangan tinggal

وَءَاتَیۡنَا مُوسَى ٱلۡكِتَـٰبَ وَجَعَلۡنَـٰهُ هُدࣰى لِّبَنِیۤ إِسۡرَ ٰ⁠ۤءِیلَ أَلَّا تَتَّخِذُوا۟ مِن دُونِی وَكِیلࣰا﴿ ٢ ﴾

“Dan Kami telah memberikan Nabi Musa Kitab Taurat, dan Kami jadikan Kitab itu petunjuk bagi Bani Israil (serta Kami perintahkan mereka): “Janganlah kamu jadikan yang lain daripadaKu sebagai Tuhan (untuk menyerahkan urusan kamu kepadanya)”.”

(Al-Isra’: 2)

Setelah Nabi Musa A.S bermunajat di Bukit Tursina selama 40 malam, Allah S.W.T menganugerahkannya 10 perintah. Perintah tersebut ditulis di batu dan Nabi Musa membawanya pulang. Segala perintah tersebut terkandung di dalam surah Al-An’am. Antara perintahnya ialah jangan bergantung hidup kepada selain daripada Allah S.W.T. Bukan buang ikhtiar misalnya sakit kena makan ubat dan lapar kena cari makanan. Pergantungan akhir hanya kepada Allah S.W.T.

Penukaran arah kiblat

ذُرِّیَّةَ مَنۡ حَمَلۡنَا مَعَ نُوحٍۚ إِنَّهُۥ كَانَ عَبۡدࣰا شَكُورࣰا﴿ ٣ ﴾

“(Wahai) keturunan orang-orang yang telah Kami bawa bersama-sama dengan Nabi Nuh (di dalam bahtera)! Sesungguhnya ia adalah seorang hamba yang bersyukur.”

(Al-Isra’: 3)

Masjidil Aqsa merupakan kiblat kepada orang Yahudi. Mereka menyindir Nabi S.A.W kerana Baginda tidak mahu mengikuti agama mereka (Yahudi) tetapi Nabi dan Sahabat masih mengerjakan solat berkiblatkan Masjidil Aqsa (Baitul Maqdis). Akibat sindiran tersebut, Nabi S.A.W tertekan, lalu Allah menurunkan perintah untuk Baginda menukar arah kiblat ke Masjidil Haram (Kaabah). Peristiwa tersebut berlaku semasa Baginda dan Sahabat mengerjakan solat Asar. Masjid tersebut bernama Masjid Qiblatain. Rasulullah S.A.W pernah berpesan kepada Sahabat supaya berwudhu di rumah terlebih dahulu, kemudian mengerjakan solat sunat dua rakaat di Masjid Qiblatain di mana pahalanya seumpama mengerjakan umrah.

Kuliah Tafsir Mingguan disampaikan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Mohd Amar Abdullah yang juga Naib Presiden PAS pada Isnin, 31 Mei 2022 di Masjid Assidiqin, Mukim Panchor, Kelantan. – HARAKAHDAILY 1/6/2022

- Advertisement -