Agihan zakat ‘cashless’ selari transformasi teknologi

- Advertisement -

MENDEPANI arus teknologi semasa yang semakin pesat berkembang, agensi agama perlu lebih progresif dan proaktif dalam memastikan setiap gerak kerja sesuai dengan peredaran zaman, termasuk dalam membantu para asnaf yang merupakan aktiviti utama agensi agama.

Saya amat berbangga dengan usaha Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dalam memperkenalkan Program Agihan Makanan Secara Digital. Melalui program ini, seramai 30,200 asnaf menerima Bantuan Kewangan Bulanan di MAIWP Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Mereka bakal menerima agihan zakat secara tanpa tunai (cashless) bagi tujuan pembelian atau penebusan barangan keperluan asasi. Ianya merupakan suatu transformasi teknologi digital dalam proses pengagihan zakat Baitulmal buat para asnaf.

Dalam memperkasa golongan penerima zakat, kita bukan sahaja mahukan institusi zakat dilihat sebagai tempat membayar dan menyerahkan wang-wang zakat semata. Bahkan, yang paling besar adalah memastikan para penerima zakat ini suatu masa kelak, bakal merubah hidup mereka.

Iaitulah melalui latihan dan kemahiran yang disediakan oleh agensi agama, dan seterusnya menjadi pembayar zakat untuk membantu lebih ramai golongan tidak berkemampuan. Dan inilah maqasid zakat disyariatkan. 

Islam tidak mahu melihat umatnya hanya menunggu mengharapkan bantuan sebaliknya penerima bantuan itu sendiri harus berusaha dan bertekad untuk meningkatkan taraf hidup, keluar daripada kepompong kemiskinan dan berazam untuk menjadi pembayar zakat pula.

Semoga segala usaha kita dalam membantu para asnaf serta membangunkan sosioekonomi umat Islam dipermudahkan oleh Allah S.W.T. Amin.

YB DATO’ USTAZ AHMAD MARZUK SHAARY
Timbalan Menteri
Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) – HARAKAHDAILY 1/6/2022

- Advertisement -
- Advertisement -